Kastam bongkar cubaan seludup kokain hitam RM1.34 juta

Sazali (tiga dari kiri) menunjukkan pelapik getah yang disembunyikan di dalam beg bagasi.
Sazali (tiga dari kiri) menunjukkan pelapik getah yang disembunyikan di dalam beg bagasi.
A
A
A

NILAI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah jenis kokain hitam bernilai RM1.34 juta ke negara ini menggunakan taktik baharu iaitu teknik 'mould injection' awal bulan ini.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Sazali Mohamad berkata, dadah berbentuk kepingan getah yang dijadikan pelapik beg bagasi itu ditemui di dalam beg seorang wanita dari negara Amerika Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 November lalu.

"Suspek berusia 39 tahun itu ditahan di KLIA, kira-kira jam 4 petang dengan menaiki pesawat milik syarikat penerbangan luar negara yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai.

"Suspek telah ditahan bersama dua bagasi yang mengandungi dadah berbahaya jenis 'black cocaine' dengan anggaran berat kasar 6.7 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.34 juta, " katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam, Kampung Jijan pada Isnin.

Sazali(kiri) menunjukkan pelapik getah yang dijadikan pelapik bagasi.
Sazali(kiri) menunjukkan pelapik getah yang dijadikan pelapik bagasi.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, suspek pertama kali masuk ke negara ini dengan menggunakan pas pelancong dan dadah yang dibawanya adalah untuk pasaran Malaysia.

Jelasnya, suspek difahamkan telah menerima bayaran AS$500 (RM2,293) bagi membawa dadah itu dan kini direman 11 hari bagi membantu siasatan.

Sementara itu, beliau berkata, teknik 'mould injection' yang digunakan itu merupakan modus operandi pertama kali dikesan masuk ke negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi ini ialah mencampurkan kokain biasa dengan bahan kimia menggunakan teknik 'mould injection' untuk menghasilkan satu kepingan getah hitam yang dijadikan pelapik bagasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Campuran bahan kimia itu juga bagi meneutralkan bau dadah supaya tidak dikesan anjing pengesan. Ini adalah modus operandi yang pertama kali dikesan masuk ke negara ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.