Faiz Fadzil mahu jadikan Tampin 'Lembah Makanan'

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Jika diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Tampin untuk tempoh lima tahun akan datang, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi P133 itu, Muhammad Faiz Fadzil mahu memperjuangkan Tampin sebagai Lembah Makanan atau 'Food Valley'.

Muhammad Faiz berkata, Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan PH telahpun memulakan usaha untuk mentransformasikan Tampin sebagai Lembah Makanan dan akan diteruskan beliau.

"Saya melihat Tampin ini adalah sebuah daerah yang kaya dengan potensi, terutamanya dalam sektor pertanian.

"Maka, Tampin perlu menjadi salah satu hab terpenting negara untuk membekalkan makanan ke seluruh Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, untuk menjadikan Tampin sebagai Lembah Makanan, pengusaha pertanian tempatan akan dijadikan sauh atau 'anchor' utama dalam usaha itu.

Menurutnya, dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan berkaitan, para petani dan peladang akan dibantu dan dibimbing untuk meningkatkan hasil dan produktiviti tanaman mereka.

"Pembangunan tanah-tanah terbiar termasuk tanah di dalam daerah Tampin termasuklah Pusat Fidlot Nasional (NFC) harus dibangunkan oleh penduduk Tampin.

"Ini bagi memastikan projek-projek pertanian dapat berjalan dengan berkesan dan membantu usaha membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan terutamanya kepada golongan muda," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Faiz menambah, dengan adanya usaha itu, beliau yakin golongan muda akan berminat menceburi bidang pertanian sebagai sumber pendapatan negara apatah lagi, usaha tersebut akan memberikan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada warga Felda terutama generasi kedua dan ketiga.

Beliau menjelaskan, di samping itu, industri hiliran (downstream) berasaskan pertanian perlu dibangunkan di daerah Tampin.

"Oleh kerana itu, lebih banyak syarikat-syarikat pemprosesan makanan perlu dijemput untuk membuka kilang atau fasiliti mereka untuk memproses hasil tanaman pertanian.

"Anak-anak muda dan industri kecil dan sederhana (IKS) temlatan di Tampin juga perlu dibantu dan dibimbing untuk berkecimpung dalam industri hiliran pertanian ini," ulas beliau.

Muhammad Faiz menegaskan,jika usaha berkenaan berjaya, ia akan memperkasakan ekonomi Tampin dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bermutu tinggi kepada anak muda terutama generasi kedua dan ketiga Felda.

"Kemahiran dan minat penduduk Tampin kepada sektor pertanian harus dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

"Tampin akan dikenang rakyat Malaysia kerana mampu menambah bekalan produk pertanian yang boleh mengurangkan harga barang makanan yang semakin mahal. Kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan hasil usaha bersama ini," katanya lagi.