Suspek letupan bom di Istanbul ditahan

Pihak berkuasa menjalankan siasatan di tempat kejadian sekitar laluan pejalan kaki di Istiklal Avenue, Istanbul. - Foto AFP
Pihak berkuasa menjalankan siasatan di tempat kejadian sekitar laluan pejalan kaki di Istiklal Avenue, Istanbul. - Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Menteri Dalam Negeri Turkiye Suleyman Soylu berkata, seorang wanita yang meninggalkan sebuah beg berisi bahan letupan di Istanbul pada Ahad telah ditahan, lapor Sputnik, memetik penyiar awam TRT World.

Satu kejadian letupan berlaku di laluan pejalan kaki di Istiklal Avenue, Istanbul pada petang Ahad.

Menurut Presidennya Recep Tayyip Erdogan, sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam kejadian itu.

Soylu berkata, bahawa 'suspek kejadian itu telah ditahan.'

Siasatan awal mendapati bahawa Kurdistan Workers' Party (PKK) dan tenteranya YPG, yang dikategorikan oleh Ankara sebagai organisasi pengganas merupakan dalang di sebalik kejadian, menurut Menteri Dalam Negeri.

Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay berkata, pada Ahad bahawa letupan itu turut mengakibatkan 81 orang cedera, 39 daripadanya telah dikeluar dari hospital.

Sementara itu, Menteri Kehakiman Turkiye, Bekir Bozdag berkata, seorang wanita dilihat duduk di bangku di Istiklal, sebelum meninggalkan sebuah beg berisi bahan letupan di Istanbul pada Ahad, disyaki suspek utama kejadian itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: