PRU15: Provokasi, perang mulut tercetus di Bagan Datuk

Antara salah seorang penyokong yang didakwa datang membuat kacau semasa program sembang santai di Sungai Dulang, petang Ahad.
Antara salah seorang penyokong yang didakwa datang membuat kacau semasa program sembang santai di Sungai Dulang, petang Ahad.
A
A
A

BAGAN DATUK - Provokasi dan perang mulut tercetus antara penyokong dua parti dalam satu program ceramah di Sungai Dulang, Hutan Melintang pada petang Ahad.

Kejadian sekitar jam 6.50 petang itu dipercayai berlaku akibat perselisihan faham apabila ada penyokong membangkitkan sumbangan yang telah dilakukan parti.

Pengarah Penyelidik Pusat Media Pakatan Harapan, Zainurizzaman Moharam memaklumkan kepada Sinar Harian, suasana tegang timbul semasa calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berucap dalam program itu yang turut dihadiri pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki.

Menurutnya, ketika program baharu bermula, terdapat sekitar enam ke tujuh lelaki telah menghampiri kawasan ceramah dan melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata kesat dan maki hamun.

"Biarpun telah diminta beredar, tetapi mereka enggan. Apa yang membimbangkan ada antara mereka membawa senjata parang," katanya.

Kejadian tersebut tular apabila satu video berdurasi 1 minit dan 16 saat dimuat naik di media sosial.

Shamsul Iskandar dalam perkongsiannya di Facebook turut mendakwa, ada antara penyokong parti itu membawa senjata parang ketika kekecohan berlaku.

"Saya terkesima apabila salah seorang daripada mereka membangkitkan apa yang PH lakukan selama 15 tahun memerintah Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Kalau nak dibandingkan kemajuan di Selangor dengan apa yang dilakukan ahli Parlimen yang sama selama 27 tahun di Bagan Datuk ibarat langit dengan bumi saudari saudari," tulisnya.

Kekecohan itu bagaimanapun berjaya dikawal petugas sukarelawan yang berada dalam program berkenaan.

Ketika berucap, Afdlin turut sempat mengulas mengenai insiden berkenaan dan meminta kempen dapat dilakukan secara sihat sesuai dengan amalan demokrasi negara.

"Sekali lagi saya berharap kita terus berkempen secara sihat, tidak ada provokasi antara yang lain.

"Kita semua ada pendirian dan pendapat masing masing-masing. Kita raikan demokrasi dalam negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, setakat jam 9 malam ini, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian itu.

"Tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan insiden yang berlaku dalam video tersebut.

"Bagaimanapun pihak kedua-dua parti telah diingatkan untuk menasihati kumpulan penyokong terlibat supaya tidak lagi menimbulkan sebarang provokasi negatif,"jelasnya.