Mangsa banjir di Johor meningkat, 323 ditempatkan di tujuh PPS

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan rondaan dan pemantauan di Kampung Ulu Pulai, Iskandar Puteri, pada Ahad.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan rondaan dan pemantauan di Kampung Ulu Pulai, Iskandar Puteri, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bilangan mangsa banjir di empat daerah di negeri ini kini berjumlah 323 orang daripada 74 keluarga yang dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam Ahad.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan sedikit berbanding 296 orang daripada 63 keluarga pada jam 4 petang.

"Pertambahan mangsa banjir itu melibatkan daerah Pontian iaitu 17 orang daripada empat keluarga dari Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas yang pindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya pada jam 5.50 petang tadi.

"Sementara di Kluang mangsa bertambah sedikit semuanya kini berjumlah 34 orang daripada tujuh keluarga dari Kampung Ithnin Maarof ditempatkan di dewan utama kampung berkenaan," menurut kenyataan itu pada Ahad.

JPBD memaklumkan, di Kulai seramai 139 orang melibatkan 45 keluarga dari Kampung Baru Sengkang dan Kampung Murni Jaya dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang serta Dewan Raya Kampung Murni Jaya.

Sementara mangsa banjir selebihnya kata JPBD, adalah di Segamat iaitu 39 orang melibatkan 12 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak.

JPBD memaklumkan, 14 orang lagi melibatkan lima keluarga juga dari Kampung Seberang Batu Badak ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Tasek.

"Sementara empat orang daripada sebuah keluarga dari Kampung Kuala Paya ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Kuala Paya," jelas JPBD.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, JPBD berkata, banjir kilat terutu melanda Kampung Ulu Pulai, Iskandar Puteri pada jam 7.03 petang Ahad.

Tambah jawatankuasa tersebut, hanya sebuah rumah dan sebuah kedai dinaiki air dan tiada PPS dibuka setakat ini.