PRU15: Bertemu pintu ke pintu lebih dekat dengan pengundi

Nor Azman (duduk, dua dari kiri) ketika program Program Ramah Mesra di Kampung Tengah, Seri Menanti yang turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (duduk, tiga dari kiri).
Nor Azman (duduk, dua dari kiri) ketika program Program Ramah Mesra di Kampung Tengah, Seri Menanti yang turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (duduk, tiga dari kiri).
A
A
A

KUALA PILAH - Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Kuala Pilah, Nor Azman Mohamad menyifatkan pendekatan bertemu pengundi daripada pintu ke pintu adalah antara strategi terbaik supaya mereka kenal siapa calon yang bertanding di kawasan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, setakat ini sambutan yang diterima gabungan itu adalah positif cuma bagaimana mereka menterjemahkan perkara tersebut kepada undi masih lagi 'misteri'.

"Responsif itu dibuat berasaskan kepuasan hati mereka terhadap kerajaan PH, apa yang mereka terima daripada sudut kelebihan-kelebihan dan khidmat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan kampung dalam Parlimen di sini.

"Kita ada 63,000 pengundi yang majoritinya Melayu dan bagi pengundi luar kita dekati mereka secara maya selain mengadakan beberapa siri ceramah mega," katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra di Kampung Tengah, Seri Menanti pada Ahad.

Dalam pada itu, Nor Azman turut mengakui tidak berdepan tugas mudah dalam usaha merampas kerusi Parlimen Kuala Pilah kepada PH.

"Ia berikutan kita berdepan dengan calon yang sudah beberapa penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain penyandang kerusi itu merupakan bekas Timbalan Menteri.

"...Namun apa yang kita harapkan keyakinan rakyat kepada PH akan terus diterjemahkan pada hari mengundi nanti," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, politik adalah termasuk perkara ijtihad, apa jua tindakan semua parti politik adalah untuk mendapatkan sokongan dan menang dalam pilihanraya tidak kira apa parti sekalipun.

Artikel Berkaitan:

"Saya jadikan ruang politik ini untuk berkhidmat dan dakwah. Dakwah terbaik adalah akhlak. Semoga Allah SWT beri saya kekuatan untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang sekiranya diberi mandat oleh pengundi di Parlimen Kuala Pilah.

"Saya juga percaya Harapan adalah satu wadah terbaik untuk rakyat negara ini menikmati pembaharuan sebenar yang diidamkan," jelas beliau.

Ujarnya, kemenangan Harapan Kuala Pilah adalah sangat penting untuk menambah kerusi bagi melengkapkan pembentukan Kerajaan Harapan di Putrajaya dan seterusnya mengangkat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Saya berhasrat untuk membawa suara Kuala Pilah ke Parlimen, menyelesaikan masalah rakyat di dalam kawasan Parlimen dan mengangkat martabat agama serta bangsa dengan segala kudrat yang dimiliki," katanya.