PRU15: Bandar Kota Bharu perlu ada 'wow factor'

Aisyah, Ab Aziz, Wan Mohd Hafizul
Aisyah, Ab Aziz, Wan Mohd Hafizul
A
A
A
KOTA BHARU - Rata-rata penduduk sekitar Kota Bharu mahu bandar itu diceriakan semula selain menaik taraf kemudahan sedia ada bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri itu.

Pengundi kali pertama, Aisyah Razak, 26, berkata, dia sangat mengidamkan bandar Kota Bharu diceriakan semula.

"Kebanyakan bangunan di Kota Bharu dah suram. Saya rasa banyak bangunan yang ada perlu dicat semula untuk menceriakan bandar ini.



"Ada juga pasaraya dalam bandar yang sudah tidak beroperasi terbiar begitu sahaja. Bandar Kota Bharu macam tiada 'wow factor' berbanding bandar lain di luar Kelantan," katanya.

Sementara itu, peniaga buah di Pasar Siti Khatijah, Ab Aziz Mail, 46, berharap kemudahan yang disediakan di pasar itu perlu sentiasa diselenggara bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

"Macam dipasar ini, banyak kipas yang tidak berfungsi sejak sekian lama. Kalau dalam 100 buah kipas yang dipasang hanya ada 10 hingga 20 buah sahaja yang berfungsi. Lampu juga banyak yang rosak dan tidak berganti, tambah suram tempat ini.

"Keadaan ini menyebabkan bukan hanya peniaga yang tidak selesa, pengunjung pun sama. Jadi mereka hanya singgah ke beberapa kedai sahaja kerana tidak tahan dengan 'haba panas' terutamanya mereka yang membawa anak-anak kecil," jelasnya.

Ab Aziz berkata, kemudahan tempat letak kereta juga agak terhad selain jalan yang sempit membuatkan pengunjung berfikir banyak kali untuk singgah ke pasar berkenaan.

"Ramai yang mengeluh mengenai perkara ini. Kalau nak letak kereta bukan dalam petak, kenderaan mereka akan dikunci tayar.

"Sebab itu pembeli lebih cenderung memilih kedai-kedai tepi jalan yang lebih senang untuk mereka singgah," katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Wan Mohd Hafizul Wan Hussin,36, berkata, sebagai individu yang telah berkeluarga dia mahu lebih banyak taman-taman rekreasi di sediakan di bandar ini.

"Taman yang kita ada agak terhad untuk aktiviti hujung minggu bersama keluarga. Saya diharap siapa pun yang diangkat rakyat menjadi pemimpin nanti dapat mengambil perhatian berhubung perkara ini.

"Mungkin boleh mewujudkan taman rekreasi yang lebih luas, ada kolam buatan dan kemudahan bersukan untuk keluarga. Satu hal yang paling penting adalah aspek penyelenggaraan yang perlu sentiasa dilakukan bagi memelihara kemudahan yang disediakan," katanya.

Parlimen Kota Bharu menyaksikan persaingan sengit dengan enam parti politik bersaing bagi merebut kerusi Parlimen itu termasuk Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.