[VIDEO] PRU15: Kemarahan tentera beri undi kepada BN

Hishammuddin dalam sidang akhbar pada Ahad.
Hishammuddin dalam sidang akhbar pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - [DIKEMAS KINI] Kemarahan dan kekesalan anggota tentera terhadap dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diterjemah dengan memberi undi kepada BN.

Keyakinan itu disuarakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berikutan tindakan Ketua Pembangkang itu yang mempertikai integriti dan maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya dapat maklum balas daripada ATM bahawa ramai anggota kita yang marah dengan dakwaan itu.

"Mereka tidak mahu dan tolak pertimbangan sempit terhadap ATM seperti itu dan terjemahan kemarahan itu nanti adalah sokongan kepada BN," katanya selepas mengadakan sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di tapak Pasar Malam dan Harian Kamunting di sini pada Ahad.

Beliau mengulas ketika ditanya mengenai perkembangan baharu dakwaan Anwar berhubung ada anggota tentera yang mengundi pos di Parlimen Bera dibayar RM300.

Anwar memaklumkan akan menyalurkan maklumat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk bukti mengenai dakwaannya itu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin menegaskan tidak akan lagi melayan sebarang dakwaan daripada Anwar yang disifatkan keterlaluan.

Apatah lagi katanya, amalan undi pos bukan perkara baharu dalam sistem demokrasi negara dan kalangan ATM sendiri.

Artikel Berkaitan:

Kehadiran Hishammuddin disambut meriah peniaga dan pengunjung dalam sesi walkabout sempena kempen PRU15 di tapak Pasar Malam dan Harian Kamunting pada Ahad.
Kehadiran Hishammuddin disambut meriah peniaga dan pengunjung dalam sesi walkabout sempena kempen PRU15 di tapak Pasar Malam dan Harian Kamunting pada Ahad.

"Saya sebenarnya sangat marah. Takkanlah maruah dan nilai anggota kita setakat RM300.

"Itu yang dituduh kepada kita. Jadi saya bagi pihak ATM tidak akan melayan dakwaan itu. Anwar dalam isu ini memang keterlaluan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Penyandang Parlimen Sembrong itu berkata, gandingan calon BN di Taiping yang menampilkan wakil MCA, UMNO dan MIC di kerusi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dapat memberi kelebihan mencipta kemenangan kepada parti itu.

Katanya, pendekatan itu sebagai satu mesej perpaduan kepada mereka yang hanya melihat isu-isu perkauman dan keagamaan demi kepentingan politik sempit.

"Itu satu bentuk pasukan yang saya impikan dan apa yang kita lakukan di sini adalah satu perkara yang lebih besar.

"Seluruh negara akan memerhatikan sama ada pasukan yang kita tonjolkan ini dapat kekal di hati dan sokongan orang ramai," katanya.

Pada PRU15 ini, BN meletakkan Neow Choo Seong daripada MCA di kerusi Parlimen Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie (UMNO) di DUN Kamunting, Ang Sui Eng (MCA) di DUN Pokok Assam dan G Shanmugiavalloo (MIC) di kerusi Aulong.