PRU15: Jo-Anna tampilkan manifesto 'Tuaran Bersih'

Jo-Anna
Jo-Anna
A
A
A

TUARAN - Calon Parti Warisan (Warisan) Parlimen Tuaran, Jo-Anna Sue Henley Rampas mahu memastikan Tuaran bersih daripada pelbagai aspek termasuk menolak amalan rasuah dalam perkhidmatan awam.

Jo-Anna, 33, berkata, itu antara manifesto yang ditampilkannya untuk Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

"Tuaran yang bersih akan menggalakkan lagi lebih ramai pelancong berkunjung dan merancakkan aktiviti pelancongan selain demi untuk kesejahteraan rakyat di Parlimen ini.

."Tuaran yang bersih juga bermaksud tiada rasuah, jadi perkhidmatan pihak berkuasa tempatan lebih baik dan menepati kehendak rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut Timbalan Ketua Wirawati Warisan itu lagi, Tuaran kaya daripada segi biodiversiti yang belum diterokai sepenuhnya dan ia boleh diusahakan dengan baik dengan menggembleng tenaga serta potensinya melalui beberapa platform iaitu gerakan koperasi serta keusahawanan sosial.

"Manifesto ini mengambil kira faktor jarak Tuaran yang hampir dengan Kota Kinabalu iaitu pintu masuk pelancong yang utama di Sabah selain Tawau dan Sandakan.

"Parlimen Tuaran ini mempunyai limpahan peluang yang tersedia dengan kekayaan biodiversiti seperti pantai yang indah, muara sungai, keindahan paya bakau, bukit bukau, dusun pertanian yang semestinya mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Keistimewaan ini perlu didokong dengan mewujudkan hab setempat termasuk membawa penggerak industri utama untuk menyokong usaha anak tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan pelancongan setempat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi manifesto lain, bekas Ratu Kaamatan (Unduk Ngadau) itu juga akan memberi tumpuan kepada infrastruktur jalan raya, bekalan air dan elektrik, rangkaian telekomunikasi serta sekolah demi kemudahan penduduk di Parlimen Tuaran.

"Begitu juga isu bekalan air yang mana Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan semua pihak berwajib perlu duduk semeja menyelesaikan isu berkenaan secara keseluruhan.

"Bekalan elektrik yang tidak stabil akan diselesaikan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu menaik taraf semua stesen janakuasa yang terdapat di kawasan Tuaran.

"Menara telekomunikasi akan dibina di Tuaran terutama kawasan pedalaman bagi memperluaskan capaian internet penduduk. Kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telco akan dilaksanakan demi memastikan kemudahan internet kepada rakyat Tuaran lebih baik.

"Beberapa sekolah baharu sama ada sekolah rendah atau menengah perlu dibina di Tuaran kerana pertambahan penduduknya. Jadi sekolah baharu akan dibina di kawasan yang strategik bagi memudahkan perjalanan ke sekolah selain dapat mengurangkan kepadatan pelajar di sekolah yang sedia ada, " katanya.

Jo-Anna yang kali pertama bertanding di peringkat Parlimen bakal berdepan persaingan enam penjuru iaitu penyandangnya, Datuk Seri Madius Tangau (PH), Datuk Joniston Bangkuai (GRS), Muminin Norbinsha (Pejuang) serta dua calon Bebas, Boby Lewat dan Noortaip Suhaili.