65 mangsa banjir di Pulau Pinang dipindahkan ke PPS

Seramai 65 mangsa banjir dipindahkan ke PPS selepas rumah mereka dimasuki air.
Seramai 65 mangsa banjir dipindahkan ke PPS selepas rumah mereka dimasuki air.
A
A
A

GEORGETOWN - Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 65 mangsa banjir susulan banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini selepas hujan lebat lebih empat jam pada Jumaat.

Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, hujan bermula jam 5 petang itu selain keadaan aras sungai yang tinggi menyebabkan air naik dengan cepat di beberapa kawasan rendah di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Menurutnya, susulan daripada itu, satu PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) True Light, Juru di Bukit Mertajam untuk menempatkan semua mangsa banjir.

"Banjir kilat mula melanda beberapa kawasan bermula jam 6 petang, namun PPS mula dibuka dua jam kemudian selepas air tidak surut dan keadaan tersebut dilihat membahayakan penduduk sekitar.

"Sehingga jam 12 tengah malam ini, 20 keluarga membabitkan 35 orang dewasa, 21 kanak-kanak, dua bayi dan tujuh warga emas telah ditempatkan di PPS tersebut. Kerja-kerja pemantauan masih dijalankan oleh pihak terlibat," katanya ketika dihubungi.

Kata beliau, 14 lokasi di dua daerah itu dilanda banjir kilat iaitu Kampung Tok Konan, Taman Impian, Jalan Rozhan, Jalan Kota Permai, Taman Markisah, Taman Seri Mengkuang, Mengkuang Titi, Jalan IKBN, Taman Guru, Kampung Dock, Kampung Baru Alma, Taman Mangga, Taman Sukun dan Taman Sejahtera.

"Ketinggian aras banjir adalah antara 0.2 hingga 0.4 meter manakala status aras air semasa Sungai Junjung adalah 8 meter pada jam 6 petang Jumaat. Sementara itu, bacaan hujan di Stesen Machang Bubuk adalah 74 milimeter (mm).

"Bilangan rumah yang terlibat adalah 200 buah namun ada yang tidak dipindahkan ke PPS. Punca banjir adalah kerana hujan berterusan melebihi empat jam, aras sungai yang tinggi dan sistem perparitan dalaman tidak sempurna.

Artikel Berkaitan:

"Sistem perparitan juga tidak dapat menampung air hujan serta menyebabkan limpahan ke kawasan taman," katanya.