Dakwaan undi awal tentera, buat laporan jika betul: Annuar

Annuar ketika berucap di hadapan penyokong BN di Kampung Pulau Bahagia, di sini, pada Jumaat.
Annuar ketika berucap di hadapan penyokong BN di Kampung Pulau Bahagia, di sini, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Sampaikan maklumat itu kepada pihak berkenaan bukan guna untuk buat publisiti."

Itu jawapan penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa ketika mengulas ucapan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa berlaku pengundian awal membabitkan anggota tentera di Bera, Pahang pada Jumaat.

Annuar berkata, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ada peraturan dan undang-undang.

"Bila buat publisiti orang tanya mana buktinya, di mana, bila, apa yang berlaku, melanggar undang-undang yang mana. Betul ke tak betul ia wujud.

"Masalah dengan sahabat saya ini (Anwar) dari dulu sampai sekarang tantrum dia masih macam itu juga," katanya kepada pihak media selepas memberi ceramah di Kampung Pulau Bahagia, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, laporan perlu dibuat supaya tindakan boleh diambil jika ia sahih.

"Malangnya dia dah cakap begitu, orang anggap benda itu sudah betul sedangkan belum dibuktikan. Saya pun keliru apa yang dimaksudkan," katanya.

Jelas Annuar, tentera ada proses-proses pengundian yang melibatkan undi dalam kalangan mereka.

"Tentera ada dua bentuk undi awal. Satu undi awal dia berada dalam kem, dia undi pos kalau sedang menjalankan tugasan di perbatasan.

"Kena tengok dulu kem mana, adakah kem itu ada operasi atau kem itu ada termasuk dalam kategori undi awal atau undi pos. Kalau ada operasi dia akan undi pos, undi pos kertas-kertas undi boleh dikeluarkan," kata Annuar.

Jelasnya lagi, dakwaan itu memberi keuntungan kepada BN kerana Anwar sekali lagi menandakan dia seorang yang suka mengambil kesempatan bermain dengan sentimen.

Pada petang Jumaat, Anwar dalam satu ucapan di Kuala Nerus, mendakwa anggota tentera berkenaan dibayar selain menegaskan mempunyai bukti kukuh mengenai berlaku pengundian awal membabitkan anggota tentera di Bera, Pahang.