Teras utama manifesto selamatkan negara sudah dilaksana

Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo (dua, kanan) bersama calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram (dua, kiri) ketika hadir pada Ceramah Mega Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo (dua, kanan) bersama calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram (dua, kiri) ketika hadir pada Ceramah Mega Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo hari ini mengkritik pembangkang yang sering menyatakan kerajaan baharu PH gagal melaksanakan manifesto seperti dijanjikan pada PRU14 lepas.

Gobind yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata, walaupun baru 11 bulan mentadbir, kerajaan PH sebenarnya sudah melaksana teras utama manifestonya bagi menyelamatkan Malaysia daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata, ini terbukti, antara lain menerusi tindakan kerajaan menyelesaikan isu berkaitan agensi utama negara seperti Tabung Haji dan Felda.

"Kalau orang kata PH tidak laksana janji, tengok apa berlaku di Parlimen seminggu lepas, untuk Tabung Haji, Felda kita bangkitkan isu itu, kita janji akan bawa pembaikan, kita akan bawa pembaharuan dan akan membongkarkan apa salah laku yang dilakukan, dan kita akan perbaiki.

"Kita melaksanakan apa kita janjikan, memang ada banyak (janji dalam) manifesto kita perlu laksana lagi tapi kita ada masa, ada lima tahun...dan saya minta kita semua bersama-sama kita. Selepas 11 bulan, kita masih kuat dan apa kita perlu lakukan adalah bergerak ke hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah umum di Taman Seri Intan, Kampung Siliau dekat sini malam ini, yang turut dihadiri Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Gobind turut menarik perhatian bahawa walaupun dalam tempoh singkat, kerajaan PH mempunyai pemimpin yang bersih dan tidak mengamalkan rasuah, serta sentiasa berusaha memastikan wang dan dana di negara ini digunakan untuk rakyat Malaysia dan bukannya kepada kroni.

"Itu kita mahu, kerajaan yang ada perbezaan dengan BN.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada pilihan, kita tunjukkan bahawa kita ada pemimpin, bukan sahaja pemimpin bersih, tetapi pemimpin yang ambil langkah-langkah berusaha untuk membersihkan, memperbaiki ekonomi dan mengangkat taraf kehidupan rakyat Malaysia, itu kerajaan PH," katanya.

Berbeza dengan kerajaan terdahulu, beliau berkata kerajaan yang sudah memerintah negara selama 61 tahun itu mewariskan sebuah negara dan negeri yang mempunyai masalah kewangan sangat besar.

"... apabila mereka jadi kerajaan, maka berlaku semua skandal ini, berlaku semua kekurangan ini, berlaku kerosakan sehingga memberi akibat yang (membawa) padah kepada agensi seperti Tabung Haji dan Felda," katanya.

Beliau berkata, kerajaan PH juga komited untuk membina sebuah negara yang membolehkan rakyat bangga menjadi anak Malaysia dan tidak mahu isu perkauman serta agama sering dibangkit dan diapi-apikan.

PRK DUN Rantau pada Sabtu ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Dr S. Streram, calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. - Bernama