PRU15: Dua calon Sekijang perjuang isu kesihatan

Dr Mohd Zohar melakukan pemeriksaan kesihatan kepada pesakit ketika berkempen di Kampung Tekam, Pogoh, Segamat pada Jumaat.
Dr Mohd Zohar melakukan pemeriksaan kesihatan kepada pesakit ketika berkempen di Kampung Tekam, Pogoh, Segamat pada Jumaat.
A
A
A

SEGAMAT - Calon Parti Warisan (Warisan) bagi Parlimen Sekijang, Dr Mohd Zohar Ahmad berkongsi misi yang sama dengan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Zaliha Mustafa iaitu mahu meningkatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti dan mampu dinikmati semua penduduk di kawasan itu.

Menurut Dr Mohd Zohar, 50, yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun dalam bidang kesihatan, beliau dan Dr Zaliha mengetengahkan isu yang sama ketika berkempen iaitu mahu membaiki kelemahan yang ada dalam sistem perkhidmatan kesihatan di sini.

Ketua Warisan Bahagian Sekijang itu melihat isu tersebut amat penting dan mendakwa sudah diabaikan sejak sekian lama walaupun sudah beberapa kali dibangkitkan tetapi tiada tindakan susulan dilakukan.

"Isu perkhidmatan kesihatan yang selalu timbul di Segamat ialah layanan kesihatan di hospital dan klinik kesihatan milik kerajaan selain kemudahan yang ada seperti mesin pengimbas tidak efisien.

"Ada mesin pengimbas yang kerap rosak selain pesakit juga perlu menunggu masa yang lama untuk menjalani proses imbasan kerana senarai menunggu terlalu panjang," katanya ditemui semasa berkempen di Kampung Tekam, Pogoh di sini pada Jumaat.

Jelas beliau, terdapat pesakit terpaksa menunggu lama termasuk untuk melakukan pembedahan kecil dan ada di antara mereka terpaksa mendapatkan rawatan di klinik atau hospital swasta.

Begitu juga katanya, sistem yang membabitkan proses penerimaan pesakit dari klinik swasta untuk mendapat rawatan di hospital kerajaan perlu dipercepatkan dan tidak melibatkan karenah birokrasi.

"Saya dan Dr Zaliha yang kedua-duanya merupakan ahli Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) Johor menekankan perlunya layanan yang baik dan mesra di hospital atau klinik-klinik kerajaan di Segamat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau juga mahu layanan perkhidmatan di bahagian kecemasan di hospital diperkemaskan supaya pesakit yang tenat dan kritikal dapat rawatan cepat, selain zon merah, kuning atau hijau perlu dibahagikan dengan jelas dan tepat.

Dr Mohd Zohar juga mencadangkan penubuhan hospital swasta di daerah ini untuk menampung keperluan pesakit terutama di Sekijang, Segamat, Labis dan kawasan sekitar yang tinggal kira-kira 50 kilometer dari Hospital Segamat.

Katanya, beliau akan berusaha membawa pelabur untuk pembinaan hospital swasta tersebut.

Exco Warisan Negeri Johor itu berkata, sekiranya menang di Parlimen Sekijang, beliau juga akan berusaha mewujudkan peluang pekerjaan dalam bidang kesihatan dan sektor lain.

Dr Mohd Zohar bertemu orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar IOI, Segamat pada Jumaat.
Dr Mohd Zohar bertemu orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar IOI, Segamat pada Jumaat.

"Saya juga akan memperjuangkan masalah rumah rakyat dan rumah generasi kedua dan ketiga Felda.

"Begitu juga menjadikan Segamat lebih maju dan makmur dengan menaik taraf kualiti kehidupan penduduk Sekijang daripada segi ekonomi, persekitaran dan keselamatan," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, selain Dr Zaliha, Dr Mohd Zohar akan berdepan dengan Md Salleheen Mohamad (BN), Uzzair Ismail (Perikatan Nasional) dan Mohd Saiful Faizal Abd Halim (Gerakan Tanah Air).