Penjenayah pecah rumah akhirnya diberkas

Ahmad Ridhwan (kanan) menunjukkan antara barang yang dirampas susulan penahanan dua suspek di sekitar Klang, Selangor Rabu lalu.
Ahmad Ridhwan (kanan) menunjukkan antara barang yang dirampas susulan penahanan dua suspek di sekitar Klang, Selangor Rabu lalu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Dua sekawan yang terlibat dalam enam kes pecah rumah di sekitar daerah ini melibatkan kerugian RM60,000 sejak dua bulan lalu akhirnya terjerat selepas diberkas polis pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kedua-dua suspek ditahan berasingan di sekitar Pandamaran, Klang oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bermula jam 3.30 petang.

"Semakan mendapati salah seorang suspek adalah warga Indonesia.

"Polis telah merampas pelbagai barang antaranya telefon bimbit, komputer riba, kamera, pakaian selain peralatan disyaki digunakan untuk pecah premis seperti pemutar skru serta pemotong wayar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan mendapati geng ini aktif melakukan jenayah pecah premis sejak dua bulan lalu.

Katanya, dengan tertangkapnya dua lelaki ini, polis telah menyelesaikan empat kes di sekitar Saujana Putra dan dua kes di Banting membabitkan nilai kerugian kira-kira RM60,000.

Tegasnya, kedua-dua suspek berusia 36 dan 44 tahun kini direman enam hari sehingga Selasa depan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan: