Lelaki miliki 16 rekod jenayah antara 5 ditahan pecah rumah

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dengan 16 rekod jenayah antara lima yang ditahan kerana disyaki terlibat kes pecah rumah di sekitar Daerah Kulai pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, lima lelaki warga tempatan berusia 23 hingga 38 tahun itu ditahan Pasukan Lejang Balai Polis Kulai antara jam 12 tengah hari sehingga 5 petang.

Turut dirampas beberapa barangan kes termasuk sebuah Proton Wira, sebuah konsol permainan PlayStation 4, sebuah beg sandang, kasut berjenama dan dua kamera jenis Canon.

"Hasil siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar Kulai dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi pembuktian kes.

"Kita juga akan siasat penglibatan lima yang ditahan ini sama ada turut terlibat dalam kes jenayah di luar Daerah Kulai,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tok berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua individu yang ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit direman selama seminggu bermula hari ini sehingga 16 November.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan: