Tengku Zafrul puas hati KDNK, bukti banyak keputusan betul

Tengku Zafrul (tengah) semasa sidang akhbar di Ijok pada Jumaat.
Tengku Zafrul (tengah) semasa sidang akhbar di Ijok pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berpuas hati dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang kepada 14.2 peratus bagi suku ketiga tahun ini.

Tengku Zafrul berkata, pertumbuhan itu disokong dengan dasar dibuat semasa krisis Covid-19 yang membuahkan hasil.

Ujar beliau, pertumbuhan itu juga berita baik kepada ekonomi negara berikutan sektor perniagaan semakin berkembang dan peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

"Sebab itu pengangguran pun berkurangan kepada 3.6 peratus pada bulan September 2022 yang mencatatkan kadar terendah sejak pandemik Covid-19 pada Mei 2020 sebanyak 5.3 peratus," katanya dalam sidang akhbar di Ijok di sini, pada Jumaat.

Tengku Zafrul memaklumkan, dalam tempoh sembilan bulan ini juga, ekonomi negara meningkat 9.3 peratus iaitu pertumbuhan tertinggi sejak tahun 2000.

"Pakej rangsangan dan sokongan semasa pandemik sahaja bernilai keseluruhan RM530 bilion untuk membantu rakyat dan perniagaan," katanya.

Tengku Zafrul berkata, jumlah pakej rangsangan itu tidak termasuk Bajet 2021 dan 2022 dengan nilai keseluruhan lebih RM654 bilion.

"Bukan senang mengurus ekonomi waktu pandemik disebabkan ruang fiskal yang sempit.

Artikel Berkaitan:

"Kita laksanakan banyak dasar, tak pernah dibuat oleh mana-mana negara sebelum ini seperti moratorium bersasar dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," kata beliau.

Tengku Zafrul memberitahu, kementeriannya perlu mengimbangi antara menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat.

"Alhamdulillah, pencapaian KDNK ini membuktikan banyak keputusan yang dibuat adalah betul.

"Kita perlu bekerja lebih keras sekarang untuk memastikan rakyat boleh hidup dengan lebih selesa terutama apabila ekonomi dunia dijangka perlahan tahun depan," kata beliau.


KDNK rekod pertumbuhan 14.2 peratus pada sesi ketiga 2022

SHAH ALAM - Kerajaan merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, peningkatan tersebut menunjukkan momentum pemulihan ekonomi yang menggalakkan berbanding suku kedua iaitu 8.9 peratus dan lima peratus pada suku pertama.

“Pertumbuhan KDNK yang kukuh disumbangkan oleh permintaan dalam dan luar negara serta pasaran buruh yang memberangsangkan.

“Pertumbuhan sesi ketiga ini turut disokong oleh pelaksanaan langkah Bajet 2022 serta kesan limpahan daripada peralihan kepada fasa endemik yang mendorong aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak.

“Secara keseluruhan, KDNK meningkat sebanyak 9.3 peratus pada sembilan bulan pertama 2022,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

Menurut kenyataan tersebut, terdapat tiga indikator ekonomi yang menunjukkan trend pertumbuhan tersebut termasuk pasaran buruh, permintaan domestik dan perdagangan luar.

Ujarnya, pasaran buruh mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 3.7 peratus pada sesi ketiga.

“Trend penurunan ini dijangka berterusan sehingga akhir 2022 selaras dengan pelaksanaan dan penerusan pelbagai program penstabilan pekerjaan serta prospek perniagaan yang lebih baik.

“Permintaan domestik terus dipacu oleh penggunaan swasta dan keyakinan perniagaan yang kekal positif,” menurutnya.

Selain itu, ulas kenyataan itu, perdagangan luar pula terus mencatat pertumbuhan dua digit di samping prestasi pelaburan langsung asing (FDI) yang memberangsangkan.

“Jumlah dagangan berkembang sebanyak 42 peratus kepada RM775 bilion manakala FDI bersih mencatat sebanyak RM12.3 bilion pada sesi ketiga tahun ini,” jelasnya.