Kestabilan kerajaan mendepani krisis ekonomi 2023-2024

A
A
A

Dasar yang dibawa oleh Ismail Sabri menerusi konsep Keluarga Malaysia mampu memperkukuhkan negara dalam membendung krisis ekonomi.
Dasar yang dibawa oleh Ismail Sabri menerusi konsep Keluarga Malaysia mampu memperkukuhkan negara dalam membendung krisis ekonomi.

Kerajaan perlu memastikan ekosistem politik di Malaysia berada dalam keadaan yang stabil bagi menghadapi cabaran ekonomi global yang mendatang.

Ekonomi negara pasca pandemik Covid-19 menunjukkan momentum pemulihannya pada tahun ini, selepas pelaksanaan beberapa alternatif oleh kerajaan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Malah, dasar yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi konsep Keluarga Malaysia sangat bertepatan ketika negara berdepan krisis akibat pandemik.

Ia bukan sahaja untuk memberi semangat bagi menangani pandemik, tetapi mampu memperkukuhkan institusi kekeluargaan Malaysia dalam membendung krisis ekonomi.

Bagaimanapun, Malaysia dijangka berdepan dengan ekonomi yang lebih berisiko dan mencabar dalam tempoh tahun 2023 hingga 2024. Politik dan ekonomi mewujudkan hubungan saling bergantung antara satu sama lain.

Kestabilan landskap politik dilihat berupaya menjayakan agenda pembangunan ekonomi sesebuah negara, termasuk Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari, kestabilan adalah sangat penting terutama bagi negara membangun seperti Malaysia.

Katanya, kajian dan pengalaman negara-negara membangun di dunia mendapati pembangunan ekonomi boleh dicapai melalui kestabilan politik.

“Malaysia berpeluang melaksanakan pembangunan ekonomi dengan lebih cepat dan berkesan dalam tempoh yang singkat sekiranya negara mencapai kestabilan politik.

Trend pertumbuhan ekonomi dunia dan senarai pilihan raya yang diadakan sebelum fasa kemelesetan ekonomi dunia, 1996-2021. (Sumber: Word Development Indicator (Bank Dunia) & International Foundation for Electoral Systems (IFES).
Trend pertumbuhan ekonomi dunia dan senarai pilihan raya yang diadakan sebelum fasa kemelesetan ekonomi dunia, 1996-2021. (Sumber: Word Development Indicator (Bank Dunia) & International Foundation for Electoral Systems (IFES).

“Kestabilan politik adalah penentu kepada pemulihan dan pembangunan ekonomi Malaysia. Negara memerlukan tadbir urus ekonomi yang cekap dalam konteks pemulihan,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Katanya, ia penting bagi menghadapi pertumbuhan ekonomi dunia yang diunjurkan menguncup pada 2023 dengan jangkaan impaknya sehingga 2024.

Malah, Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia pada 2022 menyusut kepada 2.9 peratus berbanding 5.7 peratus pada 2021.

“Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) juga mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada 2022 berbanding unjuran awal.

“Pada 2023 hingga 2024, ekonomi dunia dijangka tumbuh pada kadar tiga peratus setahun, iaitu situasi yang tidak banyak beza berbanding tahun 2022.

“Unjuran ini bersandarkan kepada beberapa persekitaran ekonomi termasuklah pemulihan impak peperangan Rusia-Ukraine yang perlahan, tekanan inflasi yang semakin mendalam dan krisis kos sara hidup,” katanya.

“Dalam konteks ekonomi ketika ini, kestabilan politik adalah penentu kepada pemulihan dan pembangunan ekonomi Malaysia.” - Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari

Tambahnya, situasi yang dihadapi oleh Malaysia ketika ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh persekitaran ekonomi global.

Kementerian Kewangan (MOF) pada pembentangan Bajet 2023 lalu telah mengunjur pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar empat peratus hingga lima peratus untuk tahun 2023.

“Untuk rekod, pertumbuhan ekonomi 2022 diunjurkan lebih tinggi pada anggaran 6.5 peratus hingga tujuh peratus.

“Pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan untuk tahun mendatang akan memberi cabaran kepada Malaysia dalam proses pemulihan ekonomi termasuklah pemulihan kos sara hidup,” jelas beliau.

Mengulas mengenai sumbangan politik terhadap pembangunan ekonomi sejak beberapa dekad lalu, Mohd Yusof berkata, kestabilan politik berjaya membantu negara memulihkan krisis ekonomi.

Ujarnya, pertumbuhan KDNK Malaysia sejak 1961 menunjukkan pergerakan ekonomi yang berada pada trajektori menaik.

“Malaysia merupakan satu daripada 12 negara berpendapatan rendah yang merekodkan pertumbuhan purata pada kadar enam peratus setahun.

“Pertumbuhan yang tinggi ini telah membantu pembangunan sosioekonomi rakyat dan merapatkan jurang pendapatan,” katanya.

Mendepani krisis

Unjuran ekonomi global yang perlahan 2023-2024 (Sumber: OECD Economic Outlook (https://www.oecd.org/economic-outlook/).
Unjuran ekonomi global yang perlahan 2023-2024 (Sumber: OECD Economic Outlook (https://www.oecd.org/economic-outlook/).



Menurut Mohd Yusof, Malaysia menyaksikan penguncupan dalam pertumbuhan KDNK sejak mencapai kemerdekaan disebabkan ekonominya yang terdedah kepada beberapa krisis ekonomi global.

Antaranya, krisis minyak dan kewangan pada pertengahan 1970-an, imbangan fiskal pembayaran dan krisis kewangan pada pertengahan 1980-an serta krisis kewangan Asia pada tahun 1997 mengakibatkan penguncupan mendadak KDNK kepada -7.4 peratus pada 1998.

“Pada abad ke-21, tercetusnya kewangan global dan krisis ekonomi dan Malaysia sekali lagi terjerumus ke dalam penguncupan ekonomi pada 2008.

“Semua krisis ekonomi ini berjaya ditangani oleh kerajaan bagi memastikan pertumbuhannya kembali kepada landasan,” kata beliau.

Selain itu katanya, ketidakstabilan politik sejak awal tahun 2020 ditambah dengan penularan pandemik Covid-19 menyebabkan penguncupan mendadak dalam KDNK Malaysia sebanyak -5.6 peratus pada 2020.

Persekitaran politik yang tidak menentu dan kejatuhan ekonomi akibat wabak itu telah memberi tekanan kepada Malaysia, iaitu keadaan yang tidak pernah berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

“Perubahan kepimpinan kini dijangka mampu memberi persekitaran yang menggalakkan kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.

“Jelaslah bahawa pengalaman Malaysia telah menunjukkan kestabilan politik penentu kepada tadbir urus ekonomi yang cekap,” kata beliau.

Kini hanya tinggal tempoh dua bulan sebelum negara memasuki tahun 2023, menandakan Malaysia semakin menghampiri fasa krisis ekonomi global. Justeru, kestabilan politik sangat diperlukan bagi menghadapi situasi tersebut.

“Keputusan pembubaran Parlimen bertujuan mendapatkan kestabilan politik adalah langkah tepat yang diambil bagi memastikan kesediaan Malaysia menghadapi krisis ekonomi tahun hadapan.

“Jika pilihan raya umum diadakan pada tahun 2023, kita berkemungkinan menghadapi risiko berganda iaitu ketidakstabilan politik dan krisis ekonomi global,” kata Mohd Yusof.