LRT tergendala: Rapid KL digesa sedia perkhidmatan percuma

Zuraida
Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pengendali, Rapid KL digesa menyediakan ganti rugi dalam bentuk perkhidmatan percuma kepada pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) yang terjejas.

Presiden Pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ganti rugi tersebut perlu diberikan bagi tempoh sekurang-kurangnya selama sebulan selepas perkhidmatan LRT laluan terlibat dipulihkan.

“Perkhidmatan percuma berkenaan harus terpakai untuk semua jenis pengangkutan awam yang disediakan oleh Rapid KL, termasuk LRT laluan Ampang dan perkhidmatan bas dalam bandar.

“Bentuk ganti rugi sedemikian adalah tindakan paling minimum boleh diambil Rapid KL memandangkan ramai penumpang terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk urusan seharian berikutan insiden gangguan perkhidmatan LRT yang dialami,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Rapid KL pada Rabu memaklumkan sebanyak 16 LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula Rabu hingga 15 November depan.

Ia susulan masalah Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil yang telah mengganggu keseluruhan jadual perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

Ulas beliau, perkhidmatan percuma itu boleh membantu pengguna yang terjejas menampung perbelanjaan luar jangka kerana terpaksa beralih menggunakan mod pengangkutan alternatif seperti e-hailing dan teksi yang memerlukan perbelanjaan lebih tinggi.

Zuraida juga turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai kepentingan dalam Rapid KL untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab atas gangguan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“GLC mesti mendahului dalam perihal akauntabiliti, terutama jika melibatkan syarikat yang menyediakan perkhidmatan kritikal seperti pengangkutan awam.

“Ketua-ketua GLC boleh mengambil teladan daripada tindakan Datuk Azhar Abdul Hamid yang meletak jawatan serta-merta sebagai Pengerusi dan Pengarah Mass Rapid Transit (MRT) Corp berikutan kemalangan di tapak kerja landasan MRT di Kota Damansara yang meragut nyawa tiga pekerja pada 2014,” jelasnya.