Banjir: 34 penduduk Kampung Budiman dipindah ke PPS

Keadaan rumah penduduk yang terjejas banjir di Kampung Budiman, Shah Alam pada Khamis.
Keadaan rumah penduduk yang terjejas banjir di Kampung Budiman, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 34 penduduk di Kampung Budiman di sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Masjid Al Falah akibat banjir pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, jumlah penduduk yang dipindahkan itu membabitkan 13 keluarga setakat jam 11 malam.

"Kesemua mangsa yang terjejas ini telah dipindahkan ke Masjid Al Falah Kampung Budiman.

"Sebuah keluarga terdiri daripada tiga beranak didapati positif Covid-19. Mereka ini telah diasingkan di bahagian lain di PPS terbabit oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Seramai 13 keluarga dipindahkan ke PPS setakat jam 11 malam Khamis.
Seramai 13 keluarga dipindahkan ke PPS setakat jam 11 malam Khamis.

Beliau berkata, urusan pendaftaran dan keperluan mangsa banjir diuruskan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Petaling.

Katanya, hujan telah berhenti sepenuhnya dan air juga mulai surut di kebanyakan tempat.

"Jalan raya juga boleh dilalui oleh semua kenderaan. Pihak bomba telah mendirikan Pusat Kawalan Hadapan (PKH) di Kampung Budiman bagi memantau keadaan air.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis dari Balai Jelutong telah diarahkan untuk membuat rondaan lebih kerap ke atas rumah-rumah yang ditinggalkan," katanya.