Tiga lelaki ditahan kes langgar kereta

Kereta yang terlibat dalam insiden perlanggaran di Mount Austin, Johor Bahru pada awal pagi Rabu.
Kereta yang terlibat dalam insiden perlanggaran di Mount Austin, Johor Bahru pada awal pagi Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan tiga lelaki warga tempatan di Larkin pada awal pagi Khamis bagi membantu siasatan setelah dipercayai melanggar sebuah kereta dinaiki tiga lelaki warga asing di Mount Austin, di sini pada awal pagi Rabu.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Azman Mamat, kesemua suspek berusia 34 hingga 35 tahun itu dipercayai melanggar kereta terbabit setelah tiga warga asing itu melakukan kerja-kerja membaiki papan iklan besar atau billboard sebuah parti di kawasan berkenaan.

“Kesemua suspek ditahan sekitar 1.30 pagi (Khamis) di kawasan Larkin bersabit kejadian yang berlaku pada 9 November lalu di mana kenderaan suspek telah melanggar kereta dinaiki tiga lelaki warga asing berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian berpunca akibat salah faham apabila kesemua suspek beranggapan tiga lelaki warga asing itu adalah tiga lelaki warga asing yang telah berselisih faham dengan mereka di restoran.

“Kesemua suspek kini ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama dua hari mulai 10 hingga 11 November 2022,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Khamis.

Kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala bagi Seksyen 279 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai enam bulan atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian untuk berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Asri Jamalin di talian 014-6270324 atau Hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.

Artikel Berkaitan: