Kerajaan lulus RTB Sungai Jawi selesai masalah banjir

Kerajaan telah meluluskan projek RTB Sungai Jawi, di Seberang Perai Selatan. - Foto Bernama
Kerajaan telah meluluskan projek RTB Sungai Jawi, di Seberang Perai Selatan. - Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Jawi, di Seberang Perai Selatan (SPS) di sini susulan kejadian banjir yang sering melanda kawasan lembangan Sungai Jawi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan pada Khamis memaklumlan projek itu diluluskan di bawah program Tebatan Banjir Secara Off-Budget, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

"Reka bentuk projek RTB ini adalah berdasarkan hasil kajian Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran Mesra Alam bagi Daerah SPS yang disediakan oleh JPS pada 2017, sehingga kini makmal kajian nilai untuk RTB Sungai Jawi telah selesai pada September 2022.

"Projek dirancang untuk dilaksanakan secara reka dan bina bagi mempercepatkan pelaksanaan serta dijangka siap menjelang 2030," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, jumlah luas kawasan terjejas oleh banjir adalah 78.92 kilometer persegi melibatkan Taman Sungai Duri Permai, Taman Sungai Duri Indah, Kampung Sungai Duri, Taman Jawi Permai, Taman Jawi Jaya, Kampung Sethu, Perkampungan Jawi, Kampung Titi Hitam, Kampung Surau, Jalan Persekutuan di Pekan Jawi dan Jalan Negeri di Changkat.

Kenyataan itu memaklumkan apabila siap, projek itu dijangka dapat memberi manfaat dan melindungi lebih 6,000 penduduk daripada bencana banjir.

"Luas kawasan berisiko banjir juga akan berkurang dengan signifikan daripada 7,892 hektar kepada 790 hektar sahaja melibatkan kawasan perumahan termasuklah komersial dan pertanian," menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: