PRU15: 3 ditahan bakar, cabut bendera, minta wang perlindungan

Hazani
Hazani
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 21 kertas siasatan berhubung kesalahan semasa berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuka dan tiga individu ditahan pada Rabu.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, empat kertas siasatan dibuka di Pahang, Sabah, Sarawak, tiga di Pulau Pinang dan Johor, manakala satu di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Kes pertama melibatkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki membakar bendera parti politik di Jalan Penyiaran 2 Taman Universiti Skudai, Johor. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hazani berkata, kes kedua melibatkan laporan daripada seorang pengadu yang mendakwa seorang lelaki meminta wang perlindungan di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Jalan PJS 1/52, Petaling Utama, Selangor pada jam 4.30 petang.

"Suspek telah meminta pengadu wang perlindungan sebanyak RM2,500 sekiranya mahu mendirikan khemah dan berkempen di lokasi tersebut.

"Suspek turut mengugut, jika pengadu tidak membayar wang, dia bersama rakannya akan membuat kacau di khemah tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, kes ketiga melibatkan laporan daripada seorang pengadu yang mendakwa beberapa individu telah datang ke rumahnya untuk memaklumkan mereka telah mencabut bendera parti DAP yang telah dipasang oleh pengadu di Kampung Main Road Perai, Pulau Pinang.

"Salah seorang lelaki daripada kumpulan itu telah memarahi pengadu kerana memasang bendera DAP di tempat tersebut serta mengaku mereka adalah gengster.

Artikel Berkaitan:

"Mereka terus menyerang dan memukul pengadu dengan menggunakan topi keledar sehingga mengakibatkan mangsa cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Hazani berkata, statistik harian PRU15 bertarikh 9 November juga menunjukkan pengeluaran 1,301 permit ceramah di 14 kontinjen.

"Kontinjen paling banyak permit ialah Sabah dengan 344 disusuli Sarawak (215) dan Selangor (119).

"Sebanyak lapan ceramah tanpa permit pula direkodkan secara keseluruhan," katanya.