Undur diri secara terhormat

Mohd Sadek dan laporan Sukan Sinar pada Selasa.
Mohd Sadek dan laporan Sukan Sinar pada Selasa.
A
A
A

MANA-MANA kelab yang berdepan dengan masalah kewangan dalam persiapan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan digesa menarik diri secara terhormat.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, pendekatan itu adalah pilihan terbaik selepas imej Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpalit dengan beberapa isu tunggakan gaji pemain sebelum ini.

Menurutnya, kelab yang menghadapi masalah kewangan sewajarnya menarik diri lebih awal bagi mengelak reputasi FAM terjejas di mata Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan kes tunggakan gaji.

“Pada musim 2022 pun kita masih lagi mendengar beberapa lagi kes mengenai tunggakan gaji dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan Liga-M.

“Biarpun pelbagai usaha digerakkan FAM, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), tetapi isu gaji seperti tiada kesudahan.

“Dengan format baharu musim depan yang menuntut lebih banyak aksi, saya bimbang ada pasukan tidak dapat meneruskan saingan akibat masalah kewangan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Pada Selasa, media melaporkan terdapat desas-desus Petaling Jaya (PJ) City FC - kelab yang mempertaruhkan 100 peratus pemain tempatan bakal meninggalkan saingan Liga-M 2023.

Dalam pada itu, Mohd Sadek mengakui bahawa penarikan diri pasukan daripada saingan tertinggi bola sepak negara merupakan satu kerugian dalam jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

“Pemain muda memerlukan pendedahan perlawanan kompetitif bagi mematangkan lagi gaya permainan mereka. Jadi mereka akan kehilangan pentas beraksi apabila pasukan sudah tidak lagi beraksi di saingan utama.

“Potensi diri dan karier barisan kejurulatihan juga akan terbantut apabila mereka tidak dapat mempamerkan kewibawaan membawa pasukan ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.

Bagaimanapun, Mohd Sadek juga optimis ia bukan satu pengakhiran kepada mana-mana pasukan yang tidak beraksi dalam saingan Liga-M.

“Sebenarnya pasukan yang beraksi dalam liga amatur seperti Liga M3 atau Liga M4, mereka boleh berkembang dengan lebih baik sekiranya diuruskan dengan cara berhemah terutama dalam aspek kewangan.

“Kita boleh saya mengambil contoh kelab liga bawahan Inggeris yang menonjol dalam saingan Piala Liga dan Piala FA biarpun dengan memiliki bajet kecil setiap musim,” ujarnya.