KPLB peruntuk RM7.33 juta untuk elaun JPKK Pahang

Abdul Rahman (kanan) menyantuni orang ramai yang hadir ketika program Salam Desa di Lipis pada Rabu.
Abdul Rahman (kanan) menyantuni orang ramai yang hadir ketika program Salam Desa di Lipis pada Rabu.
A
A
A

LIPIS - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM7.33 juta untuk elaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pahang pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peruntukan itu bagi memastikan fungsi dan kelancaran operasi pentadbiran di peringkat kampung dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Menurutnya, peruntukan itu juga membuktikan kemampuan kerajaan dalam mengurus hasil negara bagi tujuan kebajikan khususnya melibatkan JPKK yang dilantik dalam kalangan penduduk untuk mentadbir sesebuah kampung.

“Pada masa ini, pengerusi dan setiausaha JPKK masing-masing menerima elaun RM500 dan RM300 sebulan, manakala kerajaan Pahang pula menambah RM250 sebulan untuk elaun pengerusi JPKK dengan jumlah keseluruhan JPKK Pahang adalah seramai 6,974 orang.

"Selain itu, JPKK turut diberi imbuhan lain seperti elaun pengendalian mesyuarat dan elaun kehadiran mesyuarat bagi memastikan fungsi JPKK dilaksanakan dengan sempurna dan berkesan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian sempena Program Salam Desa yang dianjurkan oleh KPLB di Dewan Orang Ramai Penjom di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Abdul Rahman berkata, kerajaan akan sentiasa mengkaji keperluan untuk penambahbaikan elaun JPKK dari semasa ke semasa.

Tambah beliau, terdapat juga JPKK yang turut mampu menjana pendapatan sendiri menerusi projek-projek pertanian, pengurusan sewaan fasiliti kampung dan perniagaan berasaskan perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas Program Salam Desa pula, beliau berkata, program itu diadakan bagi menyantuni dan menghargai JPKK yang telah berkhidmat di sesebuah kampung selain memberikan maklumat terkini mengenai bantuan dan inisiatif disediakan oleh kerajaan khususnya untuk masyarakat luar bandar.

“Pada era digital ini, boleh dikatakan semua barisan JPKK terdiri daripada mereka yang celik dan cakna kepada teknologi meliputi penggunaan telefon pintar dan mampu akses internet selain menggunakan komputer.

"Justeru, tiada masalah untuk pihak JPKK menerima maklumat dan menyampaikannya dengan pantas kepada komuniti di kampung," katanya.

Sementara itu, mengenai latihan untuk JPKK pula, beliau berkata, pelbagai program pembangunan modal insan, pengukuhan pentadbiran dan kursus bersesuaian akan ditambah dan dilaksanakan bagi memastikan keberadaan dan kesiapsiagaan JPKK untuk menyumbang khidmat bakti kepada komuniti di bawah seliaan masing-masing.