Dua lelaki ditahan sebar kertas undi pos

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menahan dua lelaki selepas disyaki menyebarkan kertas undi pos masing-masing menerusi aplikasi WhatsApp dalam kejadian di Gua Musang pada malam Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek pertama berumur 20-an ditahan pada jam 11.30 malam, manakala suspek kedua berumur 50-an pada jam 2 pagi.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu hingga 11 November bagi membantu siasatan.

"Dalam kes ini, kita juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan susulan.

"Tindakan itu penting bagi memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat berkaitan kerahsiaan undi yang boleh mengganggu proses pilihan raya," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Rabu.

Muhamad Zaki berkata, polis Kelantan turut menerima dua lagi laporan lain iaitu berhubung kelulusan akademik seorang calon di Pengkalan Chepa serta kes khianat merosakkan bendera parti di Bachok.

"Bagi kes melibatkan kelulusan akademik siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes merosakkan bendera pula disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pihaknya menerima 1,120 anggota dan pegawai tambahan dari Bukit Aman bagi melancarkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri ini.

"Setakat ini, kita mempunyai lebih 4,000 kekuatan anggota dan pegawai bagi menjalankan pemantauan di sekitar negeri ini. Saya kira tambahan anggota ini mencukupi untuk menambah kekuatan yang ada.

"Kita akan lihat di setiap Parlimen jika ia mempunyai lebih dari satu saluran kita akan hantar lebih anggota ke kawasan yang diperlukan," katanya.