Pandu lawan arus hingga dua remaja maut, pegawai pemasaran dipenjara sembilan tahun


SHAH ALAM – Seorang pegawai pemasaran yang berdepan pertuduhan membunuh dua remaja dalam kemalangan kerana memandu secara melawan arus di Lebuhraya Persekutuan lima tahun lalu dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet memutuskan demikian selepas K Devaaswin, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan menyebabkan kematian, Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, dan Nur Afiqah Abdul Karim, 18.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun bagi setiap pertuduhan namun memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu 17 September 2021.
Lelaki itu turut didenda RM30,000 atau penjara selama setahun bagi setiap pertuduhan.
Pada 20 September 2021, Sinar Harian melaporkan tertuduh pada asalnya didakwa membunuh kedua-dua mangsa dalam kemalangan di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur jam 1.50 pagi pada 12 September tahun sama.
Kedua-dua mangsa maut selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang dipandu tertuduh secara melawan arus.
Atas kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukum gantung sampai mati.
Bagaimanapun, mahkamah meminda kedua-dua pertuduhan kepada kesalahan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hafizi Abdul Halim, sementara Devaaswin diwakili peguam, Datuk N Sivananthan dan Nabila Habib.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

