Seorang lagi calon positif Covid-19

Boon Chye (kanan) ketika sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di sini pada Rabu.
Boon Chye (kanan) ketika sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mengesahkan seorang lagi calon mereka mewakili Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) positif Covid-19.

Jurucakap Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya PKR Perak, Dr Lee Boon Chye berkata, calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi disahkan positif Covid-19 pada pagi Rabu.

Menurutnya, ketika ini calon berkenaan sedang menjalani kuarantin dalam tempoh yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Mungkin saya juga nak maklumkan bahawa calon DUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi juga positif Covid-19. Tapi simptom tak serius dan telah mula kuarantin sehingga dimaklumkan oleh KKM.

"Saya harap calon yang satu lagi (kerusi DUN Teja, Sandrea Ng Shy Ching) tidak akan kena (Covid-19) tapi dia pernah kena Covid-19 sebelum ini mungkin imuniti kuat sikit," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di sini pada Rabu.

Pada 7 November lalu, calon kerusi Parlimen Gopeng bagi PH, Tan Kar Hing memaklumkan dirinya positif Covid-19 setelah menjalani ujian kendiri sebanyak dua kali.

Ketika ditanya keadaan kesihatan Kar Hing, Boon Chye memaklumkan penyandang kerusi DUN Simpang Pulai itu beransur pulih biarpun pada hari pertama dan kedua mengalami demam.

Sementara itu, Boon Chye meminta pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melonggarkan syarat calon-calon untuk melakukan walkabout bertemu pengundi tanpa perlu mendapatkan permit daripada pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, arahan tersebut diterima semalam meminta calon-calon yang ingin melaksanakan perjumpaan terbuka dengan pengundi perlu mendapatkan permit daripada ketua polis daerah.

Jelasnya, arahan tersebut disifatkan luar biasa dan tidak masuk akal kerana menyusahkan semua calon-calon bertemu pengundi.

ARTIKEL BERKAITAN: Calon PH Parlimen Gopeng positif Covid-19