PRU15: Pas Pahang sambut baik cadangan Tuan Ibrahim sebagai MB

Abdul Hadi (dua dari kanan)bersama Saifuddin(kanan), Tuan Ibrahim(kiri) dan Rosli sempena pelancaran Manifesto PN di Pahang di Jerantut pada Selasa.
Abdul Hadi (dua dari kanan)bersama Saifuddin(kanan), Tuan Ibrahim(kiri) dan Rosli sempena pelancaran Manifesto PN di Pahang di Jerantut pada Selasa.
A
A
A

JERANTUT - Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abd Jabar mengalu-alukan cadangan melantik Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Besar Pahang jika gabungan itu berjaya menawan negeri tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, beliau memberitahu buat masa ini belum ada kenyataan rasmi daripada Pas Pusat berkaitan cadangan tersebut.

“Buat masa ini belum ada kenyataan rasmi, yang ada hanya di media-media saja, dari segi pengesahan belum dibuat.

“Cuma saya menyambut baiklah kalau itu pendirian dan keputusan Pas Pusat dan kita tunggulah selepas (keputusan) diumumkan,” kata beliau ketika ditemui selepas pelancaran Manifesto Perikatan Nasional (PN) Pahang di Jerantut pada malam Selasa.

Isnin lalu, Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Ceramah PN Best di Pendang, Kedah, memberitahu pihaknya akan menyokong Tuan Ibrahim sebagai Menteri Besar Pahang jika PN berjaya merampas negeri itu.

Pelancaran manifesto PN Pahang dilakukan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyaksikan gabungan tersebut menyediakan 12 tawaran kepada rakyat negeri ini.

Hadir sama, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Bertemakan ‘Pahang Berkat Makmur Sejahtera’ itu, manifesto tersebut antara lain memberi fokus kepada usaha menyuburkan ekonomi di negeri ini selain mendukung sistem tadbir urus bersih, berintegriti dan cekap serta mendaulatkan agama.

Artikel Berkaitan: