Pegawai bank didakwa perdagang isteri

Tertuduh diiringi pegawai polis ketika tiba diperkarangan mahkamah.
Tertuduh diiringi pegawai polis ketika tiba diperkarangan mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pegawai bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan memperdagangkan isterinya di sebuah hotel di Kuala Pilah bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 35 tahun itu membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Berdasarkan pertuduhan tertuduh pada 30 Oktober lalu lebih kurang jam 1.30 petang di sebuah hotel di Kuala Pilah telah memperdagangkan isterinya berumur 35 yang bukan merupakan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi seks.

Dengan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Ia membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah seterusnya menetapkan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh dan mengeluarkan perintah identiti mangsa tidak didedahkan di mana-mana media dan berita.

Sementara itu, di kamar mahkamah berasingan, tertuduh mengaku salah di atas pertuduhan hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan isterinya sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan itu dilakukan pada 30 Oktober lalu lebih kurang jam 1.30 petang di sebuah hotel di Kuala Pilah.

Oleh demikian tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tempoh 15 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abu Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 November ini sebagai tarikh untuk hukuman bagi kedua-dua pertuduhan.