‘Kempen secara sihat, jangan ikut emosi’

Mahathir. Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Mahathir. Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Berkempen secara sihat, jangan ikut emosi, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais.

Beliau berkata, laporan kes bahan kempen calon dirosakkan di beberapa lokasi di ibu negara tidak akan berlaku jika penyokong calon bertanding bertenang dan berkempen dengan aman.

“Saya sering mengingatkan ahli-ahli parti termasuk penyokong PN sendiri supaya tidak melakukan provokasi ataupun apa sahaja yang boleh merencatkan suasana berkempen,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden merosakkan bahan kempen yang berlaku di beberapa lokasi di ibu negara sejak bermulanya kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Setakat ini saya tidak menerima apa-apa aduan berkenaan bahan kempen PN yang dirosakkan di Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Bilik Gerakan PN Wilayah Persekutuan berkata, insiden merosakkan bahan kempen hanya akan menggagalkan negara meraikan demokrasi terpimpin.

“Jangan lakukan sesuatu yang bukan budaya kita, berlainan ideologi bukan bermaksud bermusuh buat selama-selamanya, kita ada agama dan setiap tindakan itu akan memberi contoh kepada generasi akan datang,” jelas beliau.

Pada Selasa, polis membuka kertas siasatan dan sedang mengesan pelaku yang merosakkan bendera serta poster BN di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian berlaku di persimpangan Jalan Athinahpan dan jambatan Jalan Burhanuddin Helmi 1.

Selain itu, tiga poster dan gegantung calon PH Parlimen Segambut, Hannah Yeoh telah dirosakkan individu tidak bertanggungjawab. Dalam kejadian itu, bahan kempen yang digantung di tepi jalan telah dikoyak dan digunting.