Polis terima laporan khianat bendera parti

Polis mendapati poster dan bendera yang dirosakkan di Taman Tun Dr Ismail pada Isnin.
Polis mendapati poster dan bendera yang dirosakkan di Taman Tun Dr Ismail pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menerima satu laporan berkaitan perbuatan khianat dan merosakkan bendera parti di Taman Tun Dr Ismail, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam kejadian pada jam 7 pagi, seorang lelaki yang juga Ketua Pemuda BN Cawangan Lembah Kiara berusia 33 tahun telah dimaklumkan oleh rakannya melalui WhatsApp bahawa bendera dan poster BN telah dirosakkan.

"Pengadu telah pergi ke tempat kejadian di Jalan Athinahpan Taman Tun Dr Ismail dan di jambatan di Jalan Burhanuddin Helmi 1, dia mendapati tali yang menggantung bendera dan poster BN telah dipotong," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Amihizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Amihizam meminta semua pihak yang terlibat semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya tidak membuat provokasi yang boleh mengganggu proses demokrasi negara ini.

"Ahli politik juga diingatkan supaya mengawal penyokong setiap parti agar tidak melakukan apa-apa perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang dan peraturan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Artikel Berkaitan: