Tindakan cetus provokasi modal politik lama

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

KUALA NERUS - Calon BN Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan, pengundi muda hari ini menolak politik kebencian yang menjadi modal kempen parti politik tertentu.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus itu berkata, mereka turut membenci amalan politik provokasi dan persepsi yang tidak membawa keuntungan serta memecahbelahkan perpaduan umat serta rakyat.

"Rakyat hari ini cerdik, mereka ikuti perkembangan di media sosial termasuk Facebook dan TikTok, mereka mahukan kesatuan umat, inilah kehendak anak muda sekarang.

"Cukup-cukuplah bermain politik. Mereka mahukan negara yang gagah, stabil dan makmur untuk kehidupan seterusnya demi anak cucu mereka.

"Zaman pertembungan sudah berlalu, siapa bawa idea ini mereka akan ketinggalan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau turut mengulas serangan peribadi yang dijadikan modal kempen apabila poster yang menghina Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli dan penyokong BN.

Sebelum ini, Pemuda UMNO Bahagian Kemaman membuat satu laporan polis berhubung tindakan individu yang tidak bertanggungjawab menaikkan poster menghina Ahmad Said.

Artikel Berkaitan:

Tambah Khairuddin lagi, BN kekal konsisten membawa idea penyatuan umat.

"Saya jadi saksi bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi konsisten berpakat dengan umat bahkan masih menawarkan muafakat pada saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon," katanya.