Tugas getir Hasmuni berdepan dua calon 'heavyweight'

Hasmuni (berdiri) semasa menyantuni penduduk di Jitra pada pagi Selasa.
Hasmuni (berdiri) semasa menyantuni penduduk di Jitra pada pagi Selasa.
A
A
A

KUBANG PASU - Calon BN Parlimen Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan berdepan tugas getir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila bertemu dua calon 'heavyweight' iaitu Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Exco Kedah mewakili Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, lawan yang bakal dihadapi bukan calang-calang malah rekod mereka menyaksikan tidak pernah tewas setiap kali bertanding pada PRU sebelum ini.

"Saya hormati Setiausaha Agung Parti Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak daripada PN, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail yang turut bertanding di sini.

"Mereka tidak pernah tewas dalam PRU dan lebih arif dalam 'gelanggang' tetapi kali ini, saya yakin dengan izin ALLAH, BN mampu memenangi hati pengundi," katanya mengulas pertembungan empat penjuru termasuk calon 'heavyweight' di kerusi Parlimen Kubang Pasu.

Selain Amiruddin yang hadir dengan reputasi sebagai penyandang kerusi Parlimen Kubang Pasu dan ADUN Anak Bukit serta Ku Rahman sebagai Exco Kedah, seorang lagi adalah Aizuddin Ariffin daripada Pakatan Harapan (PH).

Hasmuni yang juga Setiausaha Agung Pemuda UMNO berkata, kerusi Parlimen tersebut menjadi tumpuan kerana merupakan kubu BN sebelum parti tersebut tewas pada PRU14 kepada Amiruddin yang sebelum itu mewakili PH menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, sokongan rakyat kepada BN dilihat sudah kembali semula selepas mereka menilai sendiri pemerintahan PH selepas PRU14.

"Beberapa aspek dilihat menyebelahi BN setakat ini dan saya juga adalah anak tempatan yang membesar dan menetap di Jitra sejak dari kecil hingga sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan itu membolehkan saya memahami kehendak serta masalah dihadapi penduduk setempat. Berbanding calon-calon lain, saya merupakan anak jati di Kubang Pasu," ujar Hasmuni.

Hasmuni berkata, antara isu setempat yang mahu diberikan tumpuan jika dipilih menjadi wakil rakyat adalah mengatasi masalah yang melanda beberapa kampung di Bukit Kayu Hitam yang gagal menarik perhatian pengunjung sejak sekian lama.

"Kita sepatutnya mencemburui keadaan sempadan di Johor Bahru dan Singapura yang dilihat jauh lebih maju berbanding keadaan di sempadan kita dengan Thailand dekat Bukit Kayu Hitam.

"Saya berazam membawa pembangunan ke kawasan itu. Insya-ALLAH jika diberi peluang, saya akan usahakan agar kawasan tersebut dibangunkan demi kebaikan terutamanya dari aspek ekonomi masyarakat setempat," katanya.