Beras Siam naik harga

Beras Siam mencatatkan kenaikan sebanyak RM1 hingga RM2.50.
Beras Siam mencatatkan kenaikan sebanyak RM1 hingga RM2.50.
A
A
A

KOTA BHARU - Beras Siam yang merupakan makanan ruji rakyat Kelantan mencatatkan kenaikan sebanyak RM1 hingga RM2.50.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai runcit di Tumpat dan Pasir Puteh serta Pasar Besar Tanah Merah mendapati harga bagi beras Siam lima kilogram (kg) ialah sekitar RM15 hingga RM16, manakala 25 kilogram RM89 hingga RM90.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Amar berkata, bagaimanapun harga tersebut bergantung kepada jenama beras.

"Kenaikan ini dipercayai disebabkan kenaikan mata wang Thai Bath (TB). Sekarang ini 100TB bersamaan dengan RM12.70.

"Perbezaan yang ketara ini menyebabkan harga beras Siam juga melonjak naik," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Bagi peruncit, Azizah berkata, pihak yang membekalkan beras Siam kepadanya memaklumkan kenaikan harga juga disebabkan kawalan ketat oleh pihak berkuasa di sempadan.

Menurutnya, sebagaimana semua sedia maklum beras Siam dibawa masuk ke negara ini menggunakan laluan tidak sah iaitu melalui pangkalan haram yang terdapat di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Dia berkata, disebabkan itu stok sangat terhad dan harga terpaksa dinaikkan kerana permintaan sangat tinggi apabila orang ramai membeli beras Siam untuk persiapan menghadapi musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

Peniaga, Rosely juga mendakwa cuaca buruk di Thailand memainkan peranan stok beras Siam berkurangan.

"Sekarang ini di sana sudah memasuki musim tengkujuh sama dengan di Kelantan," katanya.

Namun Rosely berkata, dia masih mengekalkan harga lama kerana beras tersebut adalah stok yang sedia ada.