Musim tengkujuh: Rezeki lumayan penoreh, jual pelbagai ubi

Siti Mariam Samad menunjukkan ubi badak untuk dijual pada musim tengkujuh di gerainya di Kampung Padang Siam di sini. Foto Bernama
Siti Mariam Samad menunjukkan ubi badak untuk dijual pada musim tengkujuh di gerainya di Kampung Padang Siam di sini. Foto Bernama
A
A
A

TANAH MERAH - Apabila tiba musim tengkujuh, Siti Mariam Samad dari Kampung Padang Siam, di sini, boleh tersenyum lebar kerana pelbagai tanaman ubi yang diusahakan bersama suami begitu laris dan mendapat permintaan tinggi.

Wanita berusia 55 tahun itu dan suami Muhammad Noor, 57, mengusahakan pelbagai tanaman ubi di atas sebidang tanah di belakang rumah mereka di Kampung Padang Siam, dekat sini, sejak tujuh tahun lepas.

Antara ubi yang diusahakan pasangan penoreh getah itu ialah ubi kayu, badak, keledek dan kembili yang hanya memerlukan tujuh bulan untuk dituai dan mengeluarkan hasil.

"Walaupun tiba musim tengkujuh, ramai petani akan berasa risau, namun rezeki saya berlimpah ruah pada waktu hujan.

"Kebiasaanya jika musim hujan, makin ramai orang membeli ubi, kalau tidak hujan permintaannya kurang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Siti Mariam memilih ubi badak yang digalinya untuk dijual pada musim tengkujuh di gerainya di Kampung Padang Siam. Foto Bernama
Siti Mariam memilih ubi badak yang digalinya untuk dijual pada musim tengkujuh di gerainya di Kampung Padang Siam. Foto Bernama

Menurut Siti Mariam ketika musim hujan, mereka mampu menjual pelbagai jenis ubi seperti ubi kayu, badak, keledek dan kembili sebanyak 30 hingga 50 kilogram (kg) sehari.

"Harga jualan bergantung kepada jenis ubi, bermula serendah RM2 hingga RM5 sekilogram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut, Siti Mariam berkata disebabkan pendapatan sebagai penoreh ketika musim tengkujuh sering tidak menentu, maka mereka memilih untuk mengusahakan tanaman ubi sebagai sumber pendapatan sampingan.

"Bekerja sebagai penoreh getah, pendapatan pasti tidak menentu apabila tiba musim tengkujuh disebabkan itu kami mengambil inisiatif untuk menanam ubi bagi menjana pendapatan.

Ubi begitu sinonim di Kelantan ketika musim hujan dan biasa dimakan dengan cara direbus dan dihidang bersama kelapa parut, sambal tumis ikan bilis, atau dibuat ubi 'getuk', tapai ubi dan ubi goreng.

Kuih putu halba antara kuih tradisional diperbuat daripada ubi kayu juga mendapat permintaan tinggi semasa musim tengkujuh. - Bernama