Dua penyamun kedai serbaneka 24 jam dicekup

Antara barangan dirampas disyaki digunakan suspek semasa menyamun. - Foto PDRM
Antara barangan dirampas disyaki digunakan suspek semasa menyamun. - Foto PDRM
A
A
A

PETALING JAYA - Dua lelaki ditahan berhampiran Jalan PJS 6/2, Kampung Lindungan di sini kerana disyaki terlibat kes samun menggunakan tukul besi di sebuah kedai serbaneka di kawasan berhampiran pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan berkenaan kejadian samun berkumpulan menggunakan tukul besi di kedai serbaneka 24 jam sekitar Taman Maju Jaya, di sini pada jam 5.28 pagi.

"Suspek disyaki dua lelaki tempatan telah masuk ke dalam premis dengan memakai topi keledar, berpelitup muka serta menunjukkan tukul ke arah mangsa.

"Suspek berjaya melarikan sejumlah wang tunai berjumlah RM560 serta 49 kotak rokok pelbagai jenis dari dalam premis," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Fakhrudin berkata, bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek berjaya diberkas di sebuah premis tidak bernombor di sini sekitar jam 3.30 petang dan menemui beberapa barang disyaki hasil samun.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai 12 rekod jenayah dan satu rekod dadah, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod dadah.

"Kedua-dua suspek direman lima hari bermula Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: