Pejabat MB Perak lapor SPRM kes seleweng dana taman tema

Ahmad Faizal ketika hadir mengiringi pegawai Pejabat Menteri Besar Perak hadir ke SPRM, hari ini.
Ahmad Faizal ketika hadir mengiringi pegawai Pejabat Menteri Besar Perak hadir ke SPRM, hari ini.
A
A
A

IPOH – Pejabat Menteri Besar Perak, hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan membabitkan projek taman tema yang dikendalikan sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) di bawah pentadbiran sebelum ini.

Laporan berkenaan dibuat sekitar jam 1 petang tadi oleh pegawai kanan Pejabat Menteri Besar diiringi sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan barisan Exco.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Faizal berkata, semakan awal yang dilakukan mendapati projek taman tema terbabit diberikan peruntukan tambahan melebihi 100 peratus dari nilai asal.

“Pada asalnya projek ini telah diperuntukkan satu jumlah wang yang kecil, tetapi ia melonjak lebih tinggi melebihi 100 peratus dari peruntukan asal. Dana diberi lebih RM100 juta, tapi peruntukan tambahan lebih daripada itu.

“Selepas kita ambil alih kerajaan, kita dapati semakin jelas kemungkinan berlakunya penyelewengan, maka kita berpandangan amat penting untuk disiasat pihak berkuasa terutamanya SPRM,” katanya.

No Image Caption

Beliau berkata, dalam kes itu, kerajaan negeri telahpun melantik sebuah syarikat swasta untuk menjalankan audit terhadap akaun-akaun syarikat yang berkenaan.

Katanya, laporan penuh audit terbabit dijangka dapat dibentang dalam dua atau tiga bulan lagi.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri akan beri kerjasama untuk pastikan perkara ini diselidiki sedalamnya dan jika benar berlaku penyelewengan dilakukan mana-mana pegawai, maka tindakan undang-undang perlu diambil,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan menerima satu laporan yang dibuat pegawai dari Pejabat Menteri Besar Perak berhubung kes berkenaan.

“Setakat ini hanya satu laporan diterima dan siasatan akan dijalankan berdasarkan laporan ini. Kita juga mengesahkan Menteri Besar Perak hadir, namun beliau hanya mengiringi pemberi maklumat terbabit,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corporation Bhd (PCB), Chong Zhemin menuntut bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi penjelasan berhubung peningkatan kos pembangunan dan pembinaan Taman Tema Animasi Studio (MAPS) daripada RM390 juta kepada RM607 juta.

Kos tambahan itu dilaporkan diluluskan kepada tiga pemegang saham dengan perjanjian berjumlah RM250 juta.