Jho Low mahu surat Putera Arab dirahsiakan: Saksi

Jho Low
Jho Low
A
A
A
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mahu empat pucuk surat daripada seorang putera Arab Saudi yang kononnya menjanjikan sumbangan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Joanna Yu Ging Ping, 51, bekas pengurus perhubungan di AmBank mengesahkan perkara itu apabila ditunjukkan transkrip mesej Blackberry Messenger (BBM) bertarikh 23 Jun 2014 oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram semasa perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram bekas perdana menteri itu melibatkan RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berdasarkan perbualan itu, ia menunjukkan Jho Low kononnya memberitahunya bahawa Najib telah mengarahkan "surat hadiah” daripada Putera Faisal Turki Al Saud tidak boleh didedahkan kepada orang ramai.

Ketika ditanya Sri Ram mengenai apa yang beliau fahami daripada mesej itu, Joanna Yu berkata, surat tersebut untuk mengesahkan bahawa dana yang masuk ke dalam akaun Najib adalah hasil daripada sumbangan dari Arab.

Sri Ram: Apakah tujuan mesej itu?

Joanna Yu: Bahawa ia sepatutnya dianggap sebagai sulit.

Saksi itu berkata, setiap kali akaun bank Najib terlebih pengeluaran, beliau akan memaklumkan sama ada kepada Nik Faisal Ariff Kamil (pemegang mandat) atau Jho Low supaya cek yang dikeluarkan Najib tidak dtolak kerana kekurangan wang dalam akaun.

Beliau berkata, seorang individu yang dikenali sebagai Kee Kok Thiam kemudiannya akan memasukkan wang ke dalam akaun Najib yang kadangkala berjumlah ratusan ribu bagi memastikan cek boleh digunakan.

Apabila ditanya sama ada bank akan menolak cek dalam keadaan sedemikian, Joanna Yu menjawab: "Ini akaun Perdana Menteri, jadi kami akan usaha mendapatkan dana supaya nampak elok,”.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, Najib adalah penandatangan tunggal untuk cek dari akaunnya, dan Nik Faisal tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan cek itu bagi pihak Najib.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. - Bernama