Pengundi Gombak mahu pemimpin mesra rakyat, bebas rasuah

Gambar dari kiri: Syarina, Farzana, Zamir Aizat
Gambar dari kiri: Syarina, Farzana, Zamir Aizat
A
A
A

GOMBAK - Rata-rata pengundi di kawasan ini mahukan bakal pemimpin yang bersifat mesra rakyat dan bebas daripada kes-kes berat termasuk gejala rasuah, selain mampu menyelesaikan isu berbangkit.

Salah seorang penduduk di Taman Sri Gombak, di sini, Zamir Aizat Zamri, 30, berkata, antara isu yang terpaksa dihadapinya setiap hari ialah masalah jalan raya yang rosak dan kesesakan lalu lintas.

Dia yang bekerja sebagai pelatih kanan di sebuah syarikat swasta berkata, ahli Parlimen yang menang perlu sentiasa memantau masalah di parlimen berkenaan dan tidak hanya muncul ketika Pilihan Raya Umum (PRU).

"Kita nak ahli Parlimen yang tidak hanya turun padang semasa PRU. Rasanya semua tempat begitu, bila waktu PRU baru nampak muka.

"Untuk lima tahun akan datang ini, dia perlu memantau kawasan Gombak dan dapat ketengahkan isu-isu utama di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, pengundi kali pertama, Farzana Razali, 25, mengakui agak keliru untuk memilih calon yang dia inginkan kerana persaingan sengit enam penjuru di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, dia akan menyokong calon yang mengetahui masalah utama di kawasan tersebut, selain mampu membawa perubahan, jujur dan tidak mengamalkan rasuah.

"Saya harap calon yang bakal menang kerusi Gombak ini akan kekal merendah diri, pentingkan anak bangsa, dan terus perjuangkan hak kami," katanya yang tinggal di Kampung Klang Gate Baru di sini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengusaha rumah inap desa, Syarina Basri, 32, mahukan wakil rakyat yang mudah dihubungi jika terdapat sebarang masalah di kawasan berkenaan.

"Kami nak wakil rakyat yang bersih daripada skandal-skandal yang kurang enak didengar.

"Selain itu, beliau juga perlu bebas daripada gejala rasuah termasuk kes masih berjalan di mahkamah," katanya yang tinggal di Taman Sri Selayang, di sini.

Pada Sabtu, Parlimen Gombak pada PRU15 menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan penyandang Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari (PH), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Parti Pejuang Tanah Air), Zulkifli Ahmad (Bebas) dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN).