Calon PN mahu jadikan Tanjung Piai sehebat Langkawi

Najwah Halimah (tengah) bertemu orang ramai sambil berkempen di Kedai Makan Muhamaf Shaid di Ayer Masin, Kukup, Pontian pada Ahad.
Najwah Halimah (tengah) bertemu orang ramai sambil berkempen di Kedai Makan Muhamaf Shaid di Ayer Masin, Kukup, Pontian pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Tanjung Piai, Najwah Halimah Ab Alim, 44, berhasrat menjadikan Tanjung Piai sebagai destinasi pelancongan yang hebat seperti Langkawi.

Bekas Timbalan Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) itu berkata, ini kerana Tanjung Piai mempunyai pelbagai tarikan yang mana ketika ini dikunjungi ramai pelancong kerana kedudukannya berada di penghujung benua Asia.

Sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau mahu mengubah wajah Tanjung Piai menerusi tiga perancangan khusus agar seiring dengan popularitinya sebagai sektor pelancongan yang sering dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.

"Walaupun Tanjung Piai adalah kawasan pelancongan yang popular tetapi kemudahan di sini masih kurang. Kawasan ini sepatutnya dibangunkan dengan sewajarnya, malah lebih pesat dari Langkawi.

"Jadi saya bertekad antaranya mahu membangunkan kawasan ini dengan menaik taraf kemudahan awam selain memastikan sifar kemiskinan dan meningkatkan pekerjaan serta perniagaan di sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu orang ramai di Kedai Makan Muhamaf Shaid di Ayer Masin, Kukup di sini pada Ahad.

Pada PRU15, Najwah Halimah akan berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH), Lim Wei Jiet dan calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Najwah Halimah berkata, berdasarkan tinjauan kadar kemiskinan dan pengangguran tinggi di Tanjung Piai sekali gus amat membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, tiada kemajuan dalam sektor pendidikan, pelancongan dan perumahan bagi golongan B40 terdiri daripada petani, nelayan dan buruh.

Katanya, hanya ada dua klinik kesihatan di Tanjung Piai untuk menampung kepadatan lebih 100,000 penduduk.

"Jika diberi mandat, PN dengan slogan Bersih dan Stabil yang bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa bertekad memastikan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat di Tanjung Piai," katanya.

Justeru beliau merayu 70,630 pengundi di Tanjung Piai keluar mengundi beramai-ramai menentukan masa depan mereka pada 19 November ini.