Peniaga belasah warga emas hingga parah diberkas

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Gara-gara perselisihan faham di jalan raya, seorang lelaki warga emas parah dibelasah seorang peniaga dalam kejadian di Kampung Pandan Dalam di sini pada Khamis.

Suspek yang dikesan positif dadah jenis methamphetamine dan benzo itu kemudiannya berjaya diberkas sehari selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, laporan diterima daripada orang awam berkaitan kejadian kira-kira jam 2.24 petang.

"Ketika kejadian mangsa berumur 60 tahun bersama isteri dalam perjalanan untuk pulang ke rumah dengan menaiki kereta.

"Siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan suspek mengakibatkan terjadinya pergaduhan antara kedua-dua mereka dengan menggunakan senjata batang golf, parang dan sebatang besi stering lock," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, mangsa telah mengalami kecederaan parah di tangan kanan, luka di tangan kiri dan pendarahan di dalam otak, manakala suspek mengalami kecederan di bahagian kepala.

"Mangsa dan suspek kemudiannya telah mendapat rawatan di Hospital Ampang," katanya.

Menurutnya, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun itu kemudiannya diberkas di kawasan Ampang pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang merupakan peniaga diberkas kira-kira jam 6.20 petang, selain itu turut dirampas adalah pakaian dan sebatang besi yang digunakan semasa kejadian," katanya.

Ujar Mohamad Farouk, semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

"Suspek kini reman enam hari bagi siasatan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.