TFC, Negeri Sembilan dilabel pilihan

TFC berjaya menyingkirkan Sri Pahang FC dengan kemenangan agregat 9-3 dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Malaysia musim ini.
- Foto Bernama
TFC berjaya menyingkirkan Sri Pahang FC dengan kemenangan agregat 9-3 dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Malaysia musim ini. - Foto Bernama
A
A
A

TERENGGANUFC (TFC) diletakkan sebagai pasukan pilihan yang akan mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini berbanding penyandang juara, Kuala Lumpur (KL) City FC.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, TFC masih memiliki kelebihan terutamanya dari segi serangan meskipun kedua-dua pasukan itu berada pada prestasi terbaik ketika ini.

Menurut Mohd Azraai, KL City tampak lebih bergantung kepada seorang atau dua pemain sahaja untuk menjaringkan gol berbanding TFC yang memiliki ramai tonggak berpotensi bagi mencipta jaringan.

“Bagi saya, aksi antara TFC dan KL City akan berlangsung dengan sengit kerana kedua-dua pasukan berada dalam prestasi terbaik. TFC sebagai contohnya, naib juara Liga Super dan Piala FA, manakala KL pula naib juara Piala AFC.

“Bagaimanapun, saya berasakan TFC mampu untuk mara ke separuh akhir kerana mereka mempunyai barisan serangan yang lebih hebat berbanding KL City.

“Kalau KL City ‘rantai’ Kpah (Sherman) dan Kipre (Tchetche), mereka masih ada Faisal (Halim) serta beberapa pemain lagi yang mampu untuk kucar-kacirkan pertahanan KL.

“Berbeza dengan KL, mereka terlalu bergantung kepada (Romel) Morales dan Paulo Josue. Jadi, sekiranya kedua-dua pemain itu kena ‘rantai’, ia akan memudahkan kerja TFC nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Ditanya mengenai satu lagi aksi suku akhir melibatkan Selangor FC dan Negeri Sembilan FC, Mohd Azraai lebih cenderung untuk memilih skuad Hobin Jang Hobin mara ke peringkat separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, aksi tidak konsisten ditampilkan Selangor musim ini, selain barisan penyerang tumpul antara sebab beliau lebih memilih Negeri Sembilan yang dilihat cukup kuat baik dari segi serangan mahupun bertahan.

“Sebelum ini coach Tan Cheng Hoe sendiri akui dia tidak puas hati dengan persembahan pemain-pemainnya. Malah, kalau kita tengok kombinasi serangan Selangor juga tidak begitu efektif.

“Jadi, saya rasa agak sukar untuk Selangor melepasi barisan pertahanan Negeri Sembilan yang boleh dikatakan agak solid dengan adanya Syihan (Hazmi) di posisi penjaga gol.

“Bagaimanapun, sekiranya Selangor dapat atasi masalah di jentera serangan, saya rasakan mungkin mereka juga berpeluang untuk mara ke peringkat separuh akhir,” ujarnya.