Penyertaan tertinggi, 108 calon Bebas tanding kerusi Parlimen

Calon Bebas bagi Parlimen P111 Kota Raja, . Kumar (tengah) di Pusat Penamaan Calon di Dewan MBSA Kemuning Utama pada Sabtu. - Foto Bernama
Calon Bebas bagi Parlimen P111 Kota Raja, . Kumar (tengah) di Pusat Penamaan Calon di Dewan MBSA Kemuning Utama pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu menyaksikan jumlah penyertaan calon Bebas paling ramai bertanding kerusi Parlimen dalam sejarah politik negara iaitu seramai 108 orang.

Bilangan itu mengatasi jumlah calon Bebas yang bertanding kerusi Parlimen pada PRU14 iaitu seramai 24 orang dan 79 orang pada PRU13.

Pada PRU kali ini, calon Bebas terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk aktivis, profesional dan mereka yang tidak dicalonkan oleh parti masing-masing termasuk bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang @ Tian Chua dan penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Mereka juga menggunakan pelbagai logo.

Paling ramai adalah di Parlimen Batu yang menyaksikan empat calon Bebas bertanding daripada keseluruhan 10 calon iaitu Tian Chua, peguam Siti Zabedah Kasim yang lebih dikenali sebagai Siti Kasim, pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwan Shaharudin atau lebih dikenali dengan gelaran Cleopatra serta seorang lagi pencabar, Too Cheng Huat.

Di Parlimen Ampang pula, tiga calon Bebas mencuba nasib iaitu M Raveen, Muhammad Syafiq Izwan Mohd Yunos dan Tan Hua Meng manakala di Parlimen Kota Raja meyaksikan tiga calon Bebas iaitu K Kumar, P Raveetharan dan S. Surendhar.

Bagi Parlimen Bangi, tiga calon Bebas mempertaruhkan diri untuk merebut kerusi kawasan itu iaitu Jamal Hisham Hashim, Muhammad Fauzi Hasim dan M. Suthan; di Taiping pula melibatkan tiga calon Bebas iaitu M Mohganan, Dr A Rama Moorthy dan Leow Thye Yih sementara tiga calon Bebas bertanding di Parlimen Sungai Siput iaitu N Rajah, R Indrani dan Baharudin Kamarudin.

Selain itu, tiga calon Bebas bertanding di Parlimen Sandakan iaitu Lita Tan Abdullah, Lokeman Hazli Azali dan Hu Chang Lik @ Hii Chang Lik serta tiga calon Bebas di Kanowit iaitu Elli Luhat, Chen Nguk Fa dan Michael Anak Lias.

Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, calon Bebas mempunyai peluang untuk menang sekiranya mereka mempunyai tarikan selain sokongan daripada mana-mana parti politik.

Artikel Berkaitan:

Mengambil contoh kemenangan P Prabakaran yang memenangi kerusi Parlimen Batu pada PRU14 dengan sokongan Pakatan Harapan (PH), Mohd Azizuddin percaya mana-mana calon Bebas yang menggunakan strategi sama berpeluang untuk menjadi Ahli Parlimen.

"...kalau dia merupakan pemimpin tempatan yang terkenal, (calon Bebas) ini mungkin ada peluang untuk menang malah, PRU14 menjadi bukti tiga calon Bebas menang di kerusi Parlimen iaitu Batu, Julau dan Lubok Antu.

"Namun, ada calon Bebas yang sukarela (bertanding) dan ada juga yang ‘planted’ (ditempatkan) untuk memecah undi kepada parti politik lain yang bertanding di kerusi itu sekali gus memberi kesan kepada majoriti dan keputusan penuh hari mengundi nanti,” katanya kepada Bernama.

Selain Prabakaran, dua lagi calon Bebas yang memenangi kerusi Parlimen pada PRU14 ialah Datuk Larry Sng bagi Parlimen Julau dan Jugah Muyang bagi kerusi Parlimen Lubok Antu.

Pada PRU15, ketiga-tiga mereka bertanding mempertahankan kerusi masing-masing dengan Prabakaran mewakili PKR atas tiket PH manakala Sng bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Jugah mewakili Perikatan Nasional (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 November manakala pengundian awal pada 15 November.- Bernama