Teruskan perjuangan kerana mahu selamatkan negara: Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahmant sejurus tiba bagi proses penamaan calon di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Muar pada Sabtu.
Muhyiddin (tengah) dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahmant sejurus tiba bagi proses penamaan calon di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Muar pada Sabtu.
A
A
A

MUAR - Penyandang kerusi Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan perjuangan walaupun pernah mencapai kemuncak politik apabila menjadi Perdana Menteri kerana tidak mahu negara ini jatuh semula ke tangan kumpulan kleptokrat.

Beliau yang merupakan calon Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga tidak mahu negara dipimpin parti tidak menunaikan janji kepada rakyat serta tidak menghormati sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Menyedari perjuangan dan amanah daripada rakyat, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) melupakan hasrat untuk berehat daripada politik serta menawarkan sebuah kerajaan prihatin, bersih dan stabil.

"PN yang saya pimpin menawarkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil untuk semua rakyat. Prihatin dengan erti kata sentiasa mempunyai rasa belas ihsan kepada rakyat serta tidak lokek membantu mereka ketika susah.

"Bersih dengan erti kata bebas daripada segala amalan rasuah dan penyelewengan. Stabil dengan memastikan kehidupan rakyat sentiasa aman, selamat dan harmoni serta mengelakkan daripada terjadinya perkara-perkara yang menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini," katanya dalam Facebook miliknya pada Sabtu.

Muhyiddin akan berdepan dua lagi lawannya iaitu Datuk Razali Ibrahim daripada BN dan Iskandar Shah (Pakatan Harapan).

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tiada apa yang mahu dikejarkan dengan jawatan Perdana Menteri kerana dianggap tidak penting baginya.

"Kata orang kun fa yakun. Kalau jadi, maka jadilah. Kalau tak jadi pun, tak mengapa. Yang lebih penting ialah saya buat pilihan ini demi untuk menyelamatkan negara. Menawarkan PN sebagai pilihan yang terbaik untuk anda semua.

Artikel Berkaitan:

"'We are offering PN as the best option for all Malaysians.' Anda juga berhak untuk membuat pilihan yang terbaik bagi diri, keluarga dan negara. Laksanakanlah tanggungjawab anda sebagai pengundi dan buatlah pilihan dengan jiwa yang sedar," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PRU15 merupakan kali ke-11 beliau bertanding sejak 1978 dan Pagoh serta masyarakatnya mempunyai tempat yang istimewa dalam dirinya.

"Dalam sejarah politik saya selama lebih 40 tahun, saya tidak pernah berpindah ke kawasan Parlimen lain. Saya setia memberi khidmat kepada masyarakat di Pagoh dan pengundi di Pagoh juga sentiasa setia memberi sokongan kepada saya di setiap kali pilihan raya," katanya.

Menurutnya, pada PRU14 terdapat penyokong mahukannya bertanding di kerusi lain kerana merasakan kerusi itu tidak selamat tetapi beliau tidak kisah dan tetap bertanding di Pagoh.

"Saya telah mencapai kemuncak dalam kerjaya politik saya apabila dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020. Apabila saya meletak jawatan pada 21 Ogos 2022 saya mempunyai pilihan untuk bersara daripada politik.

"Itu adalah pilihan yang paling baik untuk diri saya dan keluarga saya. Orang kata 'I've been there, done that'. 'Perjuangan dan Amanah'. Dua perkara inilah yang membuatkan saya terus gagahi segala kudrat ini demi rakyat yang saya sayangi.

"Saya masih memikul amanah sebagai pemimpin sebuah wadah politik yang saya asaskan iaitu Bersatu dan PN. Wadah politik ini mempunyai prinsip perjuangan yang murni," katanya.