UMNO, BN tiada hak cadang bubar DUN

Hassan Abdul Karim
A
A

JOHOR BAHRU - Majoriti 2/3 kerusi DUN dimiliki PH di Johor merupakan penanda di mana UMNO dan BN tidak mempunyai hak untuk mengemukakan petisyen pembubaran DUN kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim berkata, parti pembangkang juga diingatkan tidak mengeruhkan lagi keadaan memandangkan situasi berhubung peletakan jawatan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor masih terkawal.

"Kerajaan PH di Johor masih kukuh dengan 39 kerusi dari 56 DUN.

"Malah pembangkang juga tidak boleh menentukan siapa calon Menteri Besar Johor. Perbuatan ini dilihat menghina kuasa Sultan Johor dengan mencadang calon menteri besar sedangkan Sultan Johor belum lagi menjawab surat peletakan jawatan itu.

"Pihak yang berhak kemukakan cadangan nama Menteri Besar Johor yang baru mesti datang dari PH, parti yang menang majoriti DUN Johor dan perkara itu hanya dilakukan apabila Sultan Johor menjawab surat peletakan jawatan Datuk Osman Sapian," katanya dalam satu kenyataan.

Hassan berkata, UMNO dan BN juga diingatkan untuk tidak sewenangnya menimbulkan provokasi dengan memainkan pelbagai sentimen terutama berhubung krisis perlembagaan.

"Johor seperti Persekutuan Malaysia bergerak mengikut hukum dan kedaulatan undang undang serta perlembagaan, sama ada Perlembagaan Persekutuan bagi Malaysia dan Undang Undang Tubuh Negeri Johor dalam soal kuasa Sultan untuk melantik Menteri Besar Johor.

"Calon-calon Menteri Besar Johor mestilah dari kalangan anggota DUN yang dipilih oleh rakyat dalam PRU lalu. Parti politik yang memenangi kerusi terbanyak berhak kemukakan nama calon," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Sultan Johor menerusi Undang Undang Tubuh Negeri Johor tetap mempunyai kuasa mutlak untuk memilih siapa dalam kalangan ADUN yang baginda berkenan sebagai menteri besar seterusnya.

Berhubung perkara itu, beliau berharap, Sultan Ibrahim dapat menilai dan memilih calon terbaik yang dikemukakan PH sejurus memberikan keputusan mengenai peletakan jawatan ADUN Kempas berkenaan.

"Jika calon yang dikemukakan kepada Sultan oleh parti yang menang majoriti ditolak oleh baginda, dan Sultan memilih orang lain, maka keadaan seperti ini akan mencetuskan krisis perlembagaan.

"Saya harap perkara ini tidak berlaku di Johor," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia