Lima wanita berentap di kerusi 'panas' Ampang

Dari kanan: Hua Meng, Sasha Lyna, Nurul Ashikin, Zuraida, Rodziah, Ivone Low, Raveendra, Bryan Lai dan Muhammad Shafiq.
Dari kanan: Hua Meng, Sasha Lyna, Nurul Ashikin, Zuraida, Rodziah, Ivone Low, Raveendra, Bryan Lai dan Muhammad Shafiq.
A
A
A

AMPANG - Parlimen Ampang antara yang disebut sebagai kerusi 'panas' di Selangor menyaksikan lima wanita menjadi antara sembilan calon bakal berentap pada pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU14, penyandangnya Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), memenangi kerusi Parlimen Ampang atas tiket Pakatan Harapan (PH) sebelum keluar parti ketika ‘Langkah Sheraton’.

Pada PRU15 kali ini, beliau yang menyandang kerusi Parlimen Ampang selama tiga penggal itu akan berdepan Rodziah Ismail (PH), Ivone Low Yi Wen (BN) dan Dr Nurul Ashikin Mabahwi (GTA).

Enam lagi pencabar ialah Sasha Lyna Abdul Latif mewakili (PN), Bryan Lai Wai Chong (Warisan), Raveendra Marnokaran (Bebas), Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos (Bebas) dan Tan Hua Meng (Bebas).

Zuraida ketika ditemui berkata, jumlah penyertaan sembilan calon termasuk lima wanita dilihat dapat menyuburkan sistem demokrasi dan menggambarkan negara ini sebagai sebuah negara matang.

"Saya gembira kerana lima calon wanita, ada orang muda yang bertanding dan ini menunjukkan masanya sudah tiba untuk rakyat Malaysia juga lebih matang, orang muda dan wanita berani ke depan.

"Saya amat raikan (penyertaan itu) walaupun selepas empat kali bertanding ini paling ramai calon bertanding, sembilan calon ada tiga Bebas dan enam (yang) berparti.

"Saya percaya pengundi Ampang boleh menilai calon terbaik untuk rakyat Ampang termasuk menilai khidmat saya selama 15 tahun menerusi kerja kerja saya di Ampang," katanya pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, salah seorang pencabar dari parti lamanya, Rodziah pula berkata, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang penyertaan calon terbabit dalam PRU15 perlu diraikan.

"Bagi pihak PH, saya memikul tanggungjawab agar kerusi itu kembali dipasak kukuh di Ampang dan kitaa juga ingin menyatakan Ampang merupakan satu tempat di mana permulaan untuk kembalikan hak rakyat," katanya.

Roziah sebelum itu diiringi pengarah serta pelakon terkenal, Datuk Hans Isaac dan penyanyi rap popular, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau Altimet ke pusat penamaan calon.

Dua selebriti terbabit mengiringi Rodziah tiba di perkarangan Dewan Dato Ahmad Razali, di sini pada jam 9.03 pagi untuk menghantar borang penamaan calon.

Pencalonan Rodziah dicadang oleh Altimet yang juga Ketua Cabang PKR dan disokong Hans Isaac.