Pertembungan skala besar antara penyokong dijangka di Larut

Mohd Sabri
Mohd Sabri
A
A
A

LARUT - Pertembungan dalam skala besar kalangan ahli dan penyokong dijangka berlaku semasa proses penamaan calon Parlimen Larut di Pejabat Tanah dan Daerah Larut Matang Selama pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Mohd Sabri Saad berkata, kehadiran penyokong mungkin mencecah 5,000 orang daripada tiga parti utama iaitu Perikatan Nasional (PN), BN dan Pakatan Harapan (PH).

"Memang kita jangkakan penyokong parti akan turun beramai-ramai kerana PRU kali ini adalah yang ditunggu-tunggu.

"Bagaimanapun kita telah membuat persiapan rapi termasuk menggunakan kekuatan penuh anggota.

"Seramai 143 pegawai dan anggota akan ditempatkan bertugas di kawasan itu bermula jam 7 pagi sehingga proses selesai," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini pada Jumaat.

Mohd Sabri sebelum itu sempat meninjau persiapan dilakukan di Pusat Penamaan Calon Parlimen Larut di Pejabat Tanah dan Daerah Selama.

Beliau berkata, bagi memastikan pergerakan berjalan lancar, laluan utama iaitu Jalan Wan Razali di Stesen Bas Selama hingga ke simpang lampu isyarat pekan Selama akan ditutup bermula jam 12 tengah malam ini.

Katanya, polis juga tidak akan membenarkan sebarang pergerakan konvoi secara beramai-ramai sepanjang hari penamaan itu bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini kita ada terima permintaan untuk benarkan konvoi motosikal, tetapi kita nasihatkan supaya semua parti tidak mengadakan pergerakan seperti itu," katanya.

Polis Perak telah menyenaraikan Parlimen Larut antara lokasi panas hari penamaan calon bagi PRU15 ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lokasi tersebut bersama Parlimen Tambun dan Bagan Datuk dikategorikan sebagai kawasan panas bagi PRU kali ini berdasarkan calon-calon yang bertanding.

Sementara itu di Bagan Serai, persediaan kempen mula dilakukan jentera parti di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Tinjauan di PDM Parit Air Itam, Gunung Semanggol mendapati, bendera-bendera gergasi mula disiapkan untuk dipasang di laluan-laluan utama.

Persiapan dilakukan jentera PN di PDM Parit Air Itam ketika tinjauan Sinar Harian pada Jumaat.
Persiapan dilakukan jentera PN di PDM Parit Air Itam ketika tinjauan Sinar Harian pada Jumaat.

Ketua Cawangan Pas Parit Air Itam, Siap Jeraai berkata, persiapan itu dibuat untuk membantu gerak kerja kempen semua calon Perikatan Nasional (PN) di kawasan itu.

"Malam ini kita akan mula pasang bendera parti di sekeliling kampung di Parit Air Itam ini.

"Esok (Sabtu) pada hari penamaan, jentera di sini akan turun sama-sama berarak memberi sokongan kepada calon PN," katanya.