Tiga pemain ragbi wanita Terengganu sertai kejuaraan Asia

Dari kiri: Nur Alyia Nabila, Aida Wardini dan Siti Nursyamimi akan berentap di pentas siri Kejohanan Ragbi Asia 7 Sepasukan Wanita U20 di Uzbekistan pada 5 sehingga 6 November ini.
Dari kiri: Nur Alyia Nabila, Aida Wardini dan Siti Nursyamimi akan berentap di pentas siri Kejohanan Ragbi Asia 7 Sepasukan Wanita U20 di Uzbekistan pada 5 sehingga 6 November ini.
A
A
A

TIGA pemain ragbi wanita Terengganu mencipta sensasi apabila berjaya memecah dominasi pemilihan Skuad Ragbi Wanita 7 Sepasukan Kebangsaan setelah layak menyertai Kejohanan Ragbi Asia 7 Sepasukan Wanita U20 di Uzbekistan pada 5 hingga 6 November ini.

Nur Alyia Nabila Samsubahari, 18, Aida Wardini Mohd Lazim, 19, dan Siti Nursyamimi Tajudin, 19, kini merupakan pemain ragbi wanita kelahiran Terengganu pertama yang layak mewakili pasukan ragbi kebangsaan untuk menyertai perlawanan-perlawanan antarabangsa.

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ragbi Terengganu, Amir Amri Mohamad berkata, perkembangan itu menjadi penanda aras baharu bagi program pembangunan ragbi yang telah dilaksanakan khususnya melibatkan pemain-pemain ragbi wanita dari negeri ini.

"Program pembangunan ragbi wanita telah bermula secara agresif sejak Sukan Malaysia (SUKMA 2018) melabuhkan tirai di mana kita memberi fokus sepenuhnya penglibatan anak jati Terengganu bermula dari bangku sekolah lagi.

"Sehingga kini tujuh sekolah dalam negeri Terengganu menjalankan program pembangunan ragbi wanita dengan dua darinya turut mendapat perhatian Program Pembangunan Ragbi Malaysia (NRDP) yang menjadi inisiatif oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sejak 2016," katanya.

Barisan Pasukan Ragbi Wanita 7 Sepasukan Kebangsaan yang akan berentap di pentas siri Kejohanan Ragbi Asia 7 Sepasukan Wanita U20 di Uzbekistan pada 5 sehingga 6 November ini.
Barisan Pasukan Ragbi Wanita 7 Sepasukan Kebangsaan yang akan berentap di pentas siri Kejohanan Ragbi Asia 7 Sepasukan Wanita U20 di Uzbekistan pada 5 sehingga 6 November ini.

Amir Amri memberitahu, perkembangan itu menjadi penanda aras terbaik buat jurulatih-jurulatih tempatan terdiri dari guru-guru sekolah luar bandar yang berjaya menghasilkan pemain-pemain berkualiti setanding dengan negeri-negeri lain yang mempunyai program pembangunan lebih bagus.

"Kita harap ketiga-tiga pemain ragbi wanita itu menjadi contoh terbaik buat pemain-pemain ragbi wanita di negeri ini khususnya yang berasal dari luar bandar," kata Amir Amri.

Artikel Berkaitan:

Nur Alyia Nabila, Aida Wardini dan Siti Nursyamimi merupakan pemain skuad SUKMA 2022 yang telah membuat kejutan untuk muncul juara di Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan 2022 yang berlangsung di Ipoh, Perak pada Julai lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih ragbi wanita Terengganu, Asaari Abdullah berkata, beliau menzahirkan rasa bangga dan bersyukur dengan perkembangan ini setelah anak didiknya layak secara merit untuk menyarung jersi kebangsaan.

"Rata-rata pemain ragbi wanita negeri ini adalah mereka yang bersekolah di kawasan luar bandar dan sering berasa tidak yakin untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi khususnya di peringkat antarabangsa.

"Namun, kini mereka menjadi contoh terbaik untuk membakar semangat buat generasi-generasi seterusnya.

"Jurulatih-jurulatih di sekolah masing-masing juga wajar diberikan pujian kerana tidak jemu mencungkil bakat mereka untuk diketengahkan,"ujar beliau.

Ketiga-tiga pemain ragbi wanita Terengganu ini telah terpilih ke ibu negara untuk mengikuti latihan persiapan pasukan kebangsaan di bawah kendalian ketua jurulatih Er Embran L Mohammad Ali, bermula 14 Oktober 2022 bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim.

Skuad Bunga Raya 7s Wanita U20 telah tiba di Uzbekistan untuk berentap bersama-sama pasukan tuan rumah, United Arab Emirates (UAE), India dan Thailand bagi memburu kejuaraan Kejohanan Ragbi Asia 7 Sepasukan Wanita U20 yang akan berlangsung selama dua hari.