Anak sulung Paul Yong tanding di DUN Tronoh

Sharifah Hazlina (dua kanan) dan Pau Yong membantu Bryan Yong (dua dari kiri) mengisi borang pencalonan di Bilik Gerakan Utama DUN Tronoh, di sini pada Jumaat.
Sharifah Hazlina (dua kanan) dan Pau Yong membantu Bryan Yong (dua dari kiri) mengisi borang pencalonan di Bilik Gerakan Utama DUN Tronoh, di sini pada Jumaat.
A
A
A

BATU GAJAH - [DIKEMAS KINI] Anak sulung penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akan bertanding mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM) di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bryan Yong Wu Sean, 25, berkata, keputusan bertanding itu dibuat selepas mendapat restu bapanya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

"Saya bertanding untuk meneruskan legasi ayah saya di sini dan saya yakin mampu mempertahankan kerusi ini pada PRU15.

"Dengan sokongan daripada semua pihak terutama dari parti, saya harap PBM dapat memenangi kerusi ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama DUN Tronoh, di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Wanita PBM Perak, Sharifah Hazlina Syed Musa Jamalullail berkata, keputusan mencalonkan Bryan Yong dipersetujui sebulat suara oleh parti bagi mempertahankan kerusi DUN Tronoh itu.

Menurutnya, pencalonan Bryan Yong itu turut dipersetujui dan disokong Paul Yong kerana individu tersebut mengetahui selok belok kawasan DUN berkenaan.

DUN Tronoh merupakan satu-satunya kerusi yang akan ditandingi PBM di Perak ini pada PRU kali ini.

"Semua 24 bahagian PBM di Perak akan tertumpu di kawasan DUN Tronoh bagi membantu bakal calon," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama DUN Tronoh, di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Bryan Yong yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di University of East Anglia, United Kingdom menerima watikah pelantikan daripada pimpinan tertinggi parti pada Rabu.