Tak terpilih calon, peluang di PRN masih ada: Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Pemimpin UMNO yang tidak dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan tidak berpaling tadah menyertai parti lawan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sikap setia kepada parti perlu wujud dengan berlapang dada dan tidak menyalahkan sesiapa termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, pimpinan UMNO yang tidak terpilih itu perlu memberi laluan kepada muka baharu sebagaimana yang dilakukan parti dalam usaha mengangkat kepimpinan baharu pada masa hadapan.

"Memandangkan masih ada enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang masih tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), peluang mereka mungkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) masih ada.

"Mungkin akan dicalonkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kemudian diangkat sebagai Exco atau menjadi Menteri Besar.

"Pimpinan parti tidak pernah ketepikan mereka yang sememangnya sudah berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan parti. Mereka ini boleh membantu parti pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program bersama asnaf dan pimpinan cawangan DUN Benut di Dewan Muafakat Pinggan di sini, pada Jumaat.

Sebelum itu, penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dipilih sebagai calon Pas bertanding di kerusi berkenaan pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Pemilihan pemimpin BN itu diumumkan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu PRU15 di Dewan Tok Guru, Rusila, pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad turut memuji sikap beberapa pemimpin UMNO antaranya Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Adham Baba dan Datuk Halimah Mohamed Saddique yang tidak mudah melatah atau memberontak apabila namanya mereka tidak dicalonkan.

Malah, pujian turut diberikan apabila ada kalangan mereka yang memberi jaminan akan membantu jentera kempen dan calon BN.

"Sikap pemimpin sebegini yang mengutamakan parti dan mahukan kestabilan ketika PRU15 perlu dicontohi.

"Ia jelas menunjukkan kematangan mereka dalam dunia politik dan kesetiaan kepada parti," katanya.

Pada Khamis, Adham dan Halimah memberi jaminan bahawa jentera kempen di kerusi Parlimen Tenggara dan Kota Tinggi terus berjalan sekali gus menyokong calon ditampilkan BN pada PRU15.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, jaminan itu diberikan kedua pemimpin berkenaan apabila beliau menghubungi mereka pada Rabu.